Dr Mahathir bersalaman dengan pemimpin Hamas Khalid Meshaal pada majlis makan malam Forum Antarabangsa UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2013 malam semalam. |
Mereka menyifatkan keterbukaan Umno untuk melibatkan orang luar iaitu mereka yang bukan anggota Umno, merupakan satu langkah baik untuk membawa perubahan dalam parti.
"Banyak peningkatan yang dibuat oleh Umno (sekarang) dan ia berbeza dari sebelum dan selepas pilihan raya umum ke-13. Mereka (Umno) membawa masuk beberapa personaliti yang bukan anggota Umno untuk menganggotai Majlis Tertinggi. Itu langkah yang sangat baik," kata Dr Mahathir kepada pemberita selepas jamuan tengah hari Forum Antarabangsa Umno 2013, di Kuala Lumpur, semalam.
Terdahulu, bekas Presiden Umno itu menyampaikan ucapan dalam jamuan tengah hari forum dua hari yang diadakan sempena Perhimpunan Agung Umno 2013.
Pada Jumaat lepas, Umno mengumumkan pelantikan sembilan anggota MT, antaranya pendakwah terkenal Ustaz Mohammad Kazim Elias dan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim) Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Selain Dr Mahathir, beberapa pemimpin UMNO menyambut baik pelantikan Ustaz Kazim sebagai ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno.
Ia dianggap sebagai bukti transformasi parti yang memberi ruang kepada golongan agama.
Adun Pasir Panjang, Rashidi Ibrahim berkata, pelantikan itu dapat memberikan sumbangan kepada penambahbaikan parti dan kepimpinan negara seterusnya memastikan Umno lebih kuat.
“Bukan sahaja Ustaz Kazim yang dilantik sebagai MT tetapi ada beberapa nama lagi yang mempunyai kemahiran dalam bidang masing-masing yang secara tidak langsung dapat memberikan sumbangan kepada parti dan juga negara,” katanya.
Beliau berkata, pelantikan itu juga menunjukkan Umno mengiktiraf golongan agama.
“Tidak bermakna, Umno ketandusan golongan agama, kita mengiktiraf golongan ini kerana pada satu ketika dahulu Umno juga dianggotai oleh golongan agama. Apabila berlaku beberapa faktor tertentu menyebabkan golongan itu keluar dan membentuk parti sendiri.
“Ini sebagai satu suntikkan semangat kepada ahli-ahli Umno dan juga rakyat keseluruhannya untuk terus menyokong parti ini,” katanya.
Bagi Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Khairil Anuar Wan Ahmad, usaha Umno membawa masuk Ustaz kazim dalam kepimpinan tertinggi membuktikan parti itu mengiktiraf keterbukaan yang dimiliki pendakwah berkenaan.
Menurutnya, Ustaz Kazim selama ini dikenali bukan sahaja kerana daya tarikannya , tetapi keberaniannya dalam mengemukakan pandangan baik kepada pembangkang atau kerajaan sendiri.
“Pelantikan ini membuktikan kita (Umno) mahu melahirkan rakyat yang berakhlak mulia, lagipun selama ini beliau memang terbukti bersifat bebas ketika menyampaikan ceramah agama.
“Beliau mempunyai pemikiran rasional, tambahan pula Umno meletakkan kepentingan agama dan ummah dalam keputusan melantik Ustaz Kazim menjadi MT, bukan atas dasar lain,” katanya.
Beliau yakin, penglibatan Ustaz Kazim dalam Umno mampu menarik ‘orang lama’ dan golongan muda berada lebih dekat dengan parti.
Komen sama turut dikongsi Adun Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib yang menyifatkan pelantikan Ustaz Kazim sebagai tepat pada masanya. Menurutnya, pelantikan itu dilihat memberi banyak impak positif kepada parti Umno sendiri.
“Pemilihan Ustaz Kazim adalah keputusan Presiden parti dan sudah pasti beliau mempunyai alasan sendiri mengapa memilih penceramah bebas itu. “Bahkan, saya berharap keputusan yang diputuskan oleh presiden parti tidak perlu untuk dipertikaikan kerana ianya dalah keputusan yang tepat,” katanya.
Sementara itu, Adun Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat berkata, walaupun Ustaz Kazim dianggap tokoh agama berpengaruh, beliau tidak bersetuju sekiranya ulama itu dilibatkan secara langsung dalam politik. Sham menegaskan Umno Pusat sepatutnya memberi ruang kepada Ustaz Kazim terus berdakwah atas platform sebagai tokoh agama, sekali gus membolehkan ulama itu memberi teguran ikhlas terhadap mana-mana parti politik di negara ini.
“Bagi saya, beri ruang kepada Ustaz Kazim untuk menjalankan kegiatan dakwahnya dan jangan libatkan beliau dengan politik demi mengelakkan kredibilitinya sebagai ulama terjejas,” katanya.
No comments:
Post a Comment