Monday, December 2, 2013

Diesel Lebih RM80,000 Dirampas

Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Cawangan Kemaman berjaya merampas 5,200 liter minyak diesel bernilai lebih RM80,000 dalam operasi di sekitar bandar Chukai pagi kelmarin.

Pengarah PPDNKK Terengganu, Syamsul Badrin Mohshin berkata, rampasan itu dilakukan dalam operasi khas di kawasan Perindustrian Jakar sejurus pihaknya menerima maklumat orang awam mengenai kegiatan itu.

Menurut beliau, pihaknya menahan dua buah lori dalam keadaan mencurigakan ketika sedang mengisi minyak diesel di beberapa buah stesen minyak di kawasan terbabit kira-kira pukul 4.30 pagi.

Katanya, selepas pemeriksaan pihaknya mendapati pemilik dua lori berkenaan telah mengubah suai tangki minyak kenderaan itu selain mengesan beberapa tangki tambahan lain yang boleh memuatkan 1,000 hingga 2,000 liter minyak diesel.

"Semua tangki yang terdapat di dalam lori berkenaan ditutup dengan kanvas bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa dan bahan api itu dipercayai untuk pasaran di Terengganu dan Pahang," katanya di Kemaman, semalam.

Beliau memberitahu, perbuatan kedua-dua pemandu lori itu menyalahi Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memiliki minyak diesel bersubsidi dengan tujuan melakukan kesalahan lain.

Jelasnya, jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda RM100,000 atau tidak lebih tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat pula boleh didenda RM250,000.

Menurut Syamsul Badrin, kedua-dua pemandu lori berkenaan, masing-masing lelaki Melayu dan lelaki Cina berumur 25 dan 30 tahun ditahan bagi membantu siasatan manakala dua lori yang sarat dengan muatan diesel turut disita.

No comments:

Post a Comment