Sunday, December 22, 2013

Hospital Pakar SALAM Ketiga Di Kuala Terengganu Dijangka Beroperasi Feb 2014


Hospital Pakar SALAM yang ketiga di Kuala Terengganu yang telah siap pembinaannya, dijangka memulakan operasinya pada Februari 2014.

Hospital Pakar SALAM dimiliki 100 peratus oleh Hatimuda Sdn Bhd.

Pengarah Urusan Hatimuda Datuk Ir Zainal Bachik berkata Hospital Pakar SALAM di Kuala Terengganu pada kos RM85 juta itu telah siap pembinaannya dan hanya menunggu kelulusan pihak berkuasa termasuk bomba dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu sebelum boleh dibenarkan beroperasi.

"Dengan wujudnya hospital pakar SALAM di Kuala Terengganu menjadikan kita hospital pakar kedua di bandar itu selepas hospital pakar baharu yang dibangunkan oleh TDM Bhd," katanya kepada pemberita selepas majlis Malam Media 2013 anjuran hospital pakar SALAM di  Melaka, malam kelmarin.

Turut hadir ialah Pengarah Eksekutif Kumpulan Hospital SALAM Datin Maslina Ibrahim.

Hospital Pakar SALAM melancarkan hospital pertamanya di Shah Alam, Selangor pada 15 Sept 2003, manakala hospital keduanya di Senawang, Negeri Sembilan.

Mengulas lanjut mengenai hospital pakar SALAM di Kuala Terengganu, Zainal berkata apabila beroperasi sepenuhnya, hospital enam tingkat itu dapat menampung 200 katil.

Bagaimanapun, katanya untuk tahun pertama ini, hanya 60 katil disediakan dengan 30 orang kakitangan. 

Cawangan baharu itu dibuka bertujuan memenuhi permintaan terhadap perkhidmatan perubatan swasta yang semakin meningkat," katanya. Zainal berkata mengikut perancangan, dua buah hospital lagi akan dibina di Bangi, Selangor dan Alor Setar, Kedah pada tahun depan.

"Kami menyasar untuk menjadi antara penyedia penjagaan kesihatan bersepadu utama negara dengan kekuatan inovatif dalam diagnostik, teknologi perubatan dan makmal.

"Kumpulan bergantung kekuatan kepada pasukan pakar perubatan yang berpengalaman, jururawat yang berdedikasi dan pentadbir yang cekap, yang terus memberikan pengalaman penjagaan kesihatan terbaik untuk pesakit.

Kumpulan komited untuk menyediakan kemudahan dan perkhidmatan kelas pertama yang berpatutan kepada semua, yang disasarkan terutamanya kumpulan perdapatan sederhana.

"Kemajuan teknologi inovatif Kumpulan Salam dalam arena perubatan dan klinikal adalah melalui komitmen bersama untuk melabur dalam peralatan dan peranti perubatan yang maju serta latihan tenaga manusia," katanya.

No comments:

Post a Comment