Friday, December 6, 2013
Jambatan Kuala Kejir Retak Akibat Banjir
Laluan alternatif pengguna jalan raya dari Kuala Terengganu ke Kuala Berang melalui jambatan Kampung Kuala Kejir, Tanggol, Hulu Terengganu terjejas berikutan terdapat lubang dan keretakan di jambatan itu, pagi semalam.
Jambatan Kampung Kuala Kejir, Tanggol, Hulu Terengganu tidak dapat dilalui semua kenderaan kerana runtuh dan terbentuk lubang besar.
Tinjauan Teganukita ke tempat kejadian kira-kira jam 10 pagi semalam mendapati pihak berkuasa sudahpun mengambil langkah berjaga-jaga dan menutup laluan itu sepenuhnya untuk semua kenderaan, kira-kira dua jam sebelum itu.
Difahamkan, Jabatan Kerja Raya Daerah terpaksa merobohkan sebahagian laluan berkenaan dan menutup laluan itu sepenuhnya kepada orang bagi mengelak insiden yang tidak diingini berlaku. Seorang pengguna jalan itu,
Manan Deraman, 48, berkata, jambatan berkenaan dipercayai mulai runtuh kira-kira jam 7 pagi selepas 30 minit dia menunggang motosikal melalui jalan itu untuk ke tempat kerja.
“Jalan ini menjadi laluan saya setiap hari ke tempat kerja dari rumah di kampung Langgar ke kilang kayu di Batu 17, Wakaf Tapai, Marang.
“Ketika saya melalui jalan itu jam 6.30 pagi, tiada lagi sebarang lubang dan rekahan.Tetapi selepas hampir sejam saya berpatah balik dari tempat kerja untuk pulang ke rumah disebabkan kilang tidak beroperasi hari ini, saya dapati jalan ini sudah ditutup akibat kejadian itu,” katanya.
Sehubungan itu, penduduk di kawasan itu yang mahu ke Kuala Berang perlu melalui jalan Manir – Telemong, sebelum melalui Kampung Nasi Dingin- Kampung Tajin.
No comments:
Post a Comment