Friday, December 6, 2013

Mangsa Banjir Dipastikan Tidak Terputus Terima Perkhidmatan Perubatan Dan Kesihatan

Kementerian Kesihatan akan memastikan perkhidmatan perubatan dan kesihatan kepada mangsa banjir tidak terputus, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman.

Beliau berkata kementerian telah menggariskan langkah dan tindakan yang perlu diambil oleh anggota serta fasiliti kesihatan dan hospital khususnya di negeri berlakunya banjir iaitu Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan dan Melaka.

"Banjir meningkatkan risiko berlakunya penyakit berjangkit seperti cirit-birit, demam kepialu (tifoid), taun (kolera) dan leptospirosis.

"Kepadatan penghuni di pusat-pusat pemindahan boleh meningkatkan risiko jangkitan penyakit seperti campak, cacar air, jangkitan pernafasan seperti batuk dan selesema serta jangkitan mata.

Risiko kemalangan dan kejadian lemas juga meningkat semasa banjir. "Setakat hari ini, sejumlah 76 pasukan perubatan, 79 pasukan kesihatan telah ditubuh dan memberi perkhidmatan di pusat-pusat pemindahan di negeri-negeri terlibat," katanya dalam kenyataan di ibu negara, semalam.

Antara tindakan lain yang dilaksanakan kementerian ialah mengenal pasti fasiliti dan infrastruktur kesihatan yang mungkin terjejas akibat banjir dan menentukan fasiliti alternatif bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan.

"Selain itu, (pihaknya) mengenal pasti kes-kes berisiko tinggi di kawasan ancaman banjir dan menjadualkan rawatan lanjutan dan susulan," kata Dr Lokman.

Katanya, kementerian akan menempatkan pasukan kesihatan dan perubatan di pusat-pusat pemindahan secara tetap sekiranya jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan tersebut melebihi 1,000 orang.

Dr Lokman menasihati orang ramai yang tinggal di kawasan yang terjejas akibat banjir atau yang berisiko banjir supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berwajib khususnya keperluan untuk berpindah awal. "Ini dapat mengelak sebarang kesulitan, kemalangan dan kehilangan jiwa," katanya.

Beliau berkata orang ramai juga perlu mengelak daripada makan makanan yang tidak dimasak dan hanya minum air yang dimasak atau air botol mineral sahaja dan tidak bermain air banjir kerana dikhuatiri tercemar dan (terdedah) kepada risiko penyakit berjangkit.

No comments:

Post a Comment