Friday, December 6, 2013

Jumlah Mangsa Banjir di Terengganu Kembali Meningkat, Pahang Semakin Ramai

Keadaan banjiir di Kemaman, Bandar Cukai Lumpuh.
Jumlah mangsa banjir di negeri ini kembali meningkat apabila seramai 7,337 mangsa daripada 1,810 keluarga ditempatkan di 70 buah pusat pemindahan di empat daerah di sini sehingga pukul 2 petang ini.

Berbanding lewat petang semalam, jumlah mangsa yang ditempatkan di 82 pusat pemindahan adalah seramai 6,052 orang daripada 1,559 keluarga.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir negeri memberitahu, daripada empat daerah itu, Kemaman masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 2,472 orang daripada 595 keluarga.

Katanya, ini diikuti oleh daerah Dungun dengan 4,340 orang daripada 1,075 keluarga, Hulu Terengganu seramai 483 orang daripada 126 keluarga dan Marang dengan 42 mangsa daripada 14 keluarga.
Di Besut tiada lagi mangsa di pusat pemindahan setelah kumpulan terakhir di surau Kayu Kelat pulang ke rumah masing-masing.

Sementara itu Bernama melaaporkan, keadaan banjir di pantai timur Semenanjung semakin buruk dan jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sejak malam semalam meningkat kepada 42,626 orang pagi ini. Semalam, jumlah yang dipindahkan sebanyak 37,136 orang.

Pahang merupakan negeri paling buruk mengalami kesan musim tengkujuh ini dengan 34,235 mangsa banjir masih ditempatkan di pusat-pusat pemindahan di Kuantan, Pekan, Rompin, Maran, Jerantut, Lipis, Temerloh dan Bera.

Menurut Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, sehingga 9 pagi ini beberapa jalan utama masih ditutup akibat dinaiki air melebihi satu meter, antaranya Km28 Jalan Sungai Lembing-Kuantan, Km72 Jalan Kuantan-Segamat dan Km62 Jalan Kuantan-Rompin.

"Kuantan masih mencatatkan jumlah mangsa paling banyak iaitu 27,391 orang yang ditempatkan di 48 pusat pemindahan," katanya kepada Bernama di sini hari ini. Rompin menempatkan 2,865 mangsa banjir, Pekan (3,218), Maran, (49), Jerantut (451), Lipis (33), Temerloh (167) dan Bera, daerah terbaharu memindahkan mangsa banjir, mempunyai 61 orang di pusat pemindahan pagi ini.

Di KELANTAN, menurut portal rasmi kerajaan negeri Kelantan, jumlah penduduk Kelantan yang dipindahkan di enam jajahan di negeri itu bertambah pagi ini dengan keseluruhannya sebanyak 2,339 orang.

Banjir itu turut merebak ke Tumpat yang merupakan jajahan keenam menerima musibah itu berikutan limpahan air Sungai Golok. Pasir Mas di Rantau Panjang menyaksikan jumlah terbanyak mangsa dipindahkan iaitu 1,345 orang yang kini ditempatkan di 10 pusat pemindahan, dan diikuti jajahan Kuala Krai sebanyak 506 orang.

Di Tanah Merah, sebanyak 222 orang masih berada di 10 pusat pemindahan, Pasir Puteh (219) dan Tumpat hanya lapan orang. Keadaan cuaca yang baik sejak semalam menyebabkan keadaan paras air sungai surut namun di Sungai Golok, Rantau Panjang masih melepasi paras bahaya iaitu 10.34 meter (bahaya 9 meter). Tiada jalan utama yang ditutup dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan akibat banjir di Kelantan dan keadaan cuaca pada pagi ini cerah.

Sementara itu di JOHOR, keadaan banjir di negeri ini semakin pulih apabila jumlah mangsa banjir terkini yang ditempatkan di pusat pemindahan banjir di tujuh daerah menurun kepada 1,825 hari ini berbanding 2,027 mangsa, semalam.

Menurut laporan portal Majlis Keselamatan Negara, sehingga pukul 11 pagi, Batu Pahat menjadi daerah yang paling teruk terjejas dengan 472 mangsa, diikuti Segamat (425), Pontian (353) dan Kota Tinggi (218). Sementara itu, Mersing terus mencatatkan perkembangan positif apabila jumlah mangsa yang terjejas menurun kepada 194 mangsa, diikuti Kluang dengan 155 mangsa manakala di Ledang hanya lapan mangsa banjir dicatatkan.

Di MELAKA, air Sungai Kesang yang melimpah sehingga memaksa 25 mangsa dari Kampung Parit Penghulu, Sungai Rambai, Jasin ditempatkan di pusat pemindahan banjir, kini berada di bawah paras waspada.

Penolong Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Mejar Jafri Mohamed berkata mereka masih belum dibenarkan pulang sebagai langkah berjaga-jaga ditambah dengan keadaan cuaca mendung pagi ini. Air Sungai Kesang kini berada pada paras 3.04 meter, katanya ketika dihubungi di sini. -

No comments:

Post a Comment