Friday, December 6, 2013

Muhyiddin Arah Pihak Berkuasa Simpan Stok Tiga Hari Makanan



Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turun padang ke kawasan teruk banjir di Terengganu hari ini mengarahkan pihak berkuasa berkaitan menghantar bekalan makanan segera ke pusat-pusat pemindahan selain menyedia stok bekalan sekurang-kurangnya tiga hari di situ.

"Amaun yang boleh digunakan tidak menjadi isu. Soalnya bekalan yang boleh kita ambil, mesti disimpan di setiap pusat pemindahan dan saya minta supaya perkara ini diteliti," katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan mangsa banjir di sekitar Sekolah Menengah Kebangsaan Banggol, Paya Berenjut, di Kemaman, hari ini.

Hadir sama dalam lawatan TPM itu ialah Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Zuhami Omar.


Muhyiddin dan rombongan terpaksa menggunakan lori Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke pusat pemindahan banjir sejauh kira-kira lima kilometer dari persimpangan Mak Lagam dan kunjungan beliau menceriakan mangsa banjir yang ditempatkan di situ.

Muhyiddin kemudian menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Muhyiddin telah memutuskan untuk bergilir-gilir meninggalkan Perhimpunan Agung UMNO 2013 di Kuala Lumpur bagi meninjau keadaan di Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan yang teruk dilanda banjir.

Najib ke Pahang Khamis, menaiki helikopter untuk meninjau kerosakan akibat banjir dari udara dan mengumumkan bantuan khas diberi kepada mangsa banjir di seluruh negara.

TPM juga meminta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membekalkan makanan kering ke pusat-pusat penempatan mangsa banjir di semua lokasi yang memerlukan, berikutan keperluan asas yang sedia ada, sudah tidak mampu menampung mangsa banjir yang meningkat.

"Saya telah putuskan dengan panglima tentera darat, stok bekalan makanan kering yang digunakan oleh tentera mungin boleh digunakan untuk mangsa banjir," katanya.

Dalam perkembangan sama, Muhyiddin mencadangkan satu pasukan perubatan ditempatkan di pusat pemindahan memantau kesihatan mangsa banjir.

"Kita telah mencadangkan Jabatan Kesihatan negeri menggerakkan pasukan perubatan dari hospital yang tidak terlibat dengan bencana untuk turun padang. Satu pasukan perubatan perlu ada di setiap pusat pemindahan bagi memantau kesihatan mangsa banjir.

"Saya difahamkan ketika ini pasukan tentera telah ditempatkan di sekitar Kemaman. (Ini kerana) doktor di sekitar sini tidak boleh lagi membantu, apabila hospital pun dah sesak," katanya.

No comments:

Post a Comment