Tuesday, December 3, 2013

Kadar Kes Baharu HIV Dijangka Terus Menurun Sebelum Akhir Tahun


Kementerian Kesihatan menjangka kadar kes baharu HIV yang dilaporkan kepadanya akan menurun kepada 11.5 kes bagi 100,000 penduduk sebelum akhir bulan ini berbanding 11.7 kes tahun lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata berdasarkan pemantauan kes, ia adalah kejayaan besar kementerian melalui pelbagai aktiviti pencegahan dan kawalan HIV/AIDS berbanding 24.7 kes bagi 100,000 penduduk yang dicatat pada 2001.

"Dalam mengurangkan kes baharu jangkitan HIV, kerajaan telah mengambil inisiatif dengan mewujudkan Program Pengurangan Mudarat kepada penagih dadah suntikan dan ia ternyata memberi impak besar kepada penyalahgunaan dadah di negara ini.

"Kadar kes baharu jangkitan HIV di kalangan penagih dadah telah menurun dari 74.7 peratus pada tahun 2000 kepada 29.5 peratus tahun ini dan kerajaan menyasarkan agar 80 peratus dari penagih dadah akan mendapatkan suntikan untuk pengurangan mudarat sebelum akhir tahun 2015," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis sambutan Hari AIDS Sedunia peringkat kebangsaan di Stadium Tertutup Gong Badak yang dirasmikan isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor semalam.

Menurutnya kerajaan komited dalam memastikan pengidap HIV layak mendapat rawatan khusus untuk meningkatkan tahap kesihatan dan jangka hayat mereka seterusnya mengurangkan kadar kematian berkaitan AIDS.

"Pada tahun lalu, sebanyak RM67 juta telah diperuntukkan bagi membeli ubat khas ARV dan sehingga September tahun ini, sebanyak 16,500 telah menerima rawatan ARV dan kerajaan menyasarkan 80 peratus pengidap AIDS akan menerima rawatan itu menjelang tahun 2015.

"Walaupun kadar HIV/AIDS telah mencatat penurunan, aktiviti pencegahan dan kawalan perlu dipertingkatkan melalui penyaluran maklumat dalam bentuk pendidikan khususnya kepada generasi muda," katanya.

No comments:

Post a Comment