Tuesday, December 10, 2013

Kelewatan Penyaluran Makanan Hanya Berlaku Di Peringkat Awal Banjir - MB


Kelewatan penyaluran bantuan makanan kepada mangsa banjir di Kemaman hanya berlaku di peringkat awal musibah itu berlaku ekoran masalah pengangkutan dan faktor keselamatan petugas banjir.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata masalah paras air naik terlalu tinggi menyebabkan kenderaan yang membawa bekalan ke pusat pemindahan banjir tidak boleh melaluinya.

"Ada beberapa tempat yang saya difahamkan kurang bekalan makanan seperti di Sekolah Menengah Kebangsaan Banggol, Mak Lagam di Kemaman.

"Ini kerana arus air yang terlalu deras boleh membahayakan nyawa petugas dan bekalan terpaksa dihantar menggunakan bot di mana bekalan makanan yang dibawa tidak mampu menampung jumlah mangsa yang terlalu ramai," katanya kepada pemberita selepas membentangkan Bajet Terengganu 2014 di Kuala Terengganu, semalam.

Namun, keadaan itu tidak berlarutan lama kerana keesokannya, bekalan dapat disalurkan dengan bantuan lori tentera oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, katanya.

Ditanya mengenai anggaran kerugian yang ditanggung kerajaan negeri akibat bencana itu, Ahmad menegaskan pihaknya masih belum dapat membuat tafsiran sebenar nilai kerosakan infrastruktur dan tidak menolak ia melibatkan angka yang besar.

Jelasnya lagi, banjir yang melanda negeri ini pada kali ini agak luar biasa berdasarkan maklumat daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang menunjukkan hujan luar biasa yang berlaku di Kemaman baru-baru ini hanya berlaku 100 tahun sekali.

"Mengikut Pusat Kajian Sukatan Hujan, hujan yang turun pada 3 Dis lalu di kawasan Jabor adalah sebanyak 777 mililiter (ml) sehari dan dalam tempoh tiga hari meningkat kepada 1,662 ml.

"Sedangkan pada banjir tahun lepas hanya 442 ml untuk tempoh yang sama... angka ini menunjukkan peningkatan yang luar biasa kerana di Terengganu taburan hujan secara keseluruhan adalah antara 3,800ml hingga 3,900ml setahun," katanya.

Menurutnya, situasi itu bertambah teruk apabila air laut pasang besar sehingga 3.6 meter menyebabkan air dari sebelah hulu tidak dapat mengalir ke laut dan bertembung mengakibatkan berlaku limpahan di Cukai dan kawasan sekitarnya.

No comments:

Post a Comment