Tuesday, December 10, 2013

Lima Syarikat Dari Dalam Dan Luar Negara Setuju Labur RM1.814 Bilion Di Tasik Kenyir



Tasik Kenyir di Hulu Terengganu yang kini dalam proses pembangunan Pulau Bebas Cukai menerima pelaburan besar bernilai RM1.814 bilion melibatkan lima syarikat dari dalam dan luar negara.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata sehingga kini, tiga syarikat dalam negara komited untuk melabur di Tasik Kenyir iaitu Bayas Resources Sdn Bhd (BRSB); Emperor Travel Sdn Bhd (ETSB) dan Talukan Emas Sdn Bhd (TESB) membabitkan pelaburan keseluruhan bernilai lebih RM714 juta.

"BRSB berminat membangunkan hotel dan resort tiga bintang di Pulau Bayas seluas lapan hektar bernilai RM140 juta dan proses menandatangani perjanjian akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

"Selain itu, ETSB dijangka membangunkan Kenyir Eco Sport and Tourism di Pulau Serindit seluas 50.8 hektar dengan nilai pelaburan lebih RM542 juta, manakala TESB berminat untuk membangunkan Food Village di Pulau Bayas seluas 0.96 hektar dengan kos pelaburan RM32 juta," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Mohd Iskandar Jaafar (BN-Jabi) mengenai jumlah pelaburan terus pelabur luar negara (FDI) di Tasik Kenyir dan Teluk Kalong, Kemaman.

Ahmad Said berkata selain itu, dua buah syarikat dari luar negara yang berminat untuk melabur di Tasik Kenyir ialah Angsana Platinum Sdn Bhd iaitu syarikat dari Lubnan dan Itali membabitkan nilai pelaburan RM800 juta serta Huaxi Cun Group dari China dengan nilai pelaburan RM300 juta.

"Majlis menandatangani perjanjian dengan Angsana Platinum yang sepatutnya diadakan pada 8 Dis lalu terpaksa ditangguhkan kepada Januari depan kerana kesibukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang tidak dapat dielakkan.

"Syarikat ini dijangka membangunkan penginapan dan hotel berkonsepkan eko di Sungai Ketiar seluas 48 hektar," katanya.

Huaxi Cun pula bakal membuat pelaburan pembangunan hotel dan resort bernilai RM300 juta di Tasik Kenyir dengan proses menandatangani perjanjian dijangka pada 16 Dis ini dengan disaksikan Perdana Menteri, katanya.

Terdahulu, ketika menjawab soalan lisan Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (PAS-Batu Buruk) mengenai status terkini Pulau Bebas Cukai di Tasik Kenyir, Ahmad Said berkata, projek berkenaan dijangka siap pada akhir 2015 dan mengalami kelewatan daripada jadual asal berikutan beberapa masalah.

"Projek ini siap lewat dari jadual kerana kita melantik kontraktor baharu selepas kontraktor lama menyerahkan kembali projek itu kepada kerajaan kerana mereka tidak mampu lagi meneruskan projek ini kerana pelbagai faktor antaranya masalah 'double handling', kekerapan hujan dan masalah peralatan.

 "Jika diikutkan jadual asal projek ini sepatutnya sudah 52 peratus siap, tetapi setakat ini baru siap 28 peratus," katanya.

Beliau bagaimanapun yakin dengan kemampuan kontraktor baharu untuk menyiapkan projek itu pada tempoh ditetapkan iaitu akhir 2015. Malah, mereka meneruskan projek ini tanpa sebarang kenaikan atau tambahan kos, katanya.

No comments:

Post a Comment