Friday, December 6, 2013

Kerajaan Sedia Timbang Bantuan Khas Kepada Mangsa Banjir - Najib


Kerajaan sedia menimbangkan bantuan khas kepada mereka yang ditimpa musibah banjir yang melanda beberapa negeri pantai timur ketika ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. "Kita akan timbang apa yang patut selepas ini," katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan yang dilanda banjir di Pahang semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan bersedia memberi bantuan khas kepada mangsa banjir sepertimana yang pernah dilakukan sebelum ini.

Terdahulu perdana menteri menaiki helikopter meninjau kawasan yang dilanda banjir di Pahang. Beliau turut singgah di pusat pemindahan banjir di Sekolah Menengah Sains Sultan Ahmad Shah Pekan, Sekolah Kebangsaan Sungai Miang, Pekan dan Sekolah Kebangsaan Sungai Puteri di Rompin.


Ditanya tentang masalah bantuan yang dilaporkan lewat dan tidak mencukupi di pusat-pusat pemindahan banjir, Najib berkata masalah logistik melibatkan jalan utama terputus selain kawasan banjir yang luas, merupakan penyebab utama masalah itu.

Bagaimanapun perdana menteri berkata ketika ini semua bentuk bantuan di pusat-pusat pemindahan terlibat berjalan dengan lancar.

"Dalam lawatan saya hari ini (di pusat pemindahan terbabit), saya berpuas hati bahawa segala urusan membantu mangsa-mangsa banjir itu berjalan dengan baik, dan mereka telah mendapat layanan yang boleh dikatakan memuaskan daripada semua pihak termasuk daripada kerajan negeri, pejabat daerah dan agensi kerajaan yang lain," kata Najib.

Mengulas tentang masalah jabatan kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat yang tidak mempunyai stok bekalan makanan kerana terikat dengan peraturan Jabatan Audit Negara, Najib berkata: "Kita beri pengecualian (untuk tidak terikat dengan peraturan itu) sebab emergency, dalam keadaan darurat, perlu membeli makanan dengan segera," katanya.

No comments:

Post a Comment