Friday, December 6, 2013

Penipuan Kakitangan Bank Babit Kerugian RM473.82j Dalam Tempoh 5 Tahun

Penipuan oleh kakitangan bank dilihat semakin serius sehingga membabitkan kerugian berjumlah RM473.82 juta dalam tempoh lima tahun sejak 2008 sehingga bulan lepas.

Ketua Unit Siasatan Jenayah Perbankan Kewangan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Superintendan Harjinder Kaur Gurdial Singh berkata, keseluruhan kerugian penipuan bank yang direkodkan dalam tempoh itu adalah RM789,106,376.

Ia membabitkan RM10.1 juta pada 2008, RM27.1 juta (2009), RM85.4 juta (2010), RM84.5 juta (2011), RM191.8 juta (2012) dan RM390 juta (November 2013), katanya kepada pemberita dalam wawancara khas Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) hari ini.

Beliau berkata, antara penipuan yang dijalankan oleh kakitangan bank ialah mengeluarkan wang daripada akaun tidak aktif lebih dari tiga tahun dan deposit tunai tidak dimasukkan ke dalam akaun penerima.

Selain penyalahgunaan kemudahan overdraf oleh pengurus cawangan bank menggunakan akaun simpanan, semasa dan simpanan tetap pelanggan dan menggunakan kad pengenalan, lesen serta penyata cukai individu untuk membuat pinjaman peribadi, perumahan kepada pihak lain tanpa pengetahuan individu terbabit, katanya.

"Siasatan kami mendapati jenayah penipuan bank dilakukan oleh kakitangan bank sendiri merangkumi 60 peratus, 30 peratus oleh pihak pengurusan manakala 10 peratus oleh pemilik akaun sendiri,” katanya.

Selain kes penipuan melibatkan kakitangan bank, penipuan lain yang melibatkan jenayah penipuan bank ialah pecah amanah (CBT), pemalsuan dokumen, penyelewengan harta (CMP) dan cubaan menipu melalui bank, kata Harjinder Kaur.

"Lebih memeranjatkan jenayah penipuan bank, 60 peratus si pelaku jenayah itu adalah wanita berbanding lelaki hanya 40 peratus. Manakala mangsa penipuan 70 peratus adalah lelaki,” katanya.

Beliau berkata, pegawai serta kakitangan bank dinasihatkan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan semasa memproses permohonan pinjaman dari pelanggan.

No comments:

Post a Comment