Wednesday, December 25, 2013

Kerja Keras Jurulatih Berbasikal Syed Mohd Hussaini Diiktiraf


Beliau mungkin tidak mencipta nama sebagai pelumba, namun selaku jurulatih sukan berbasikal namanya gah yang dibuktikan dengan gelaran jurulatih terbaik yang diterimanya dua kali berturut-turut menerusi Anugerah Sukan Terengganu.

Menceburi sukan berbasikal sebagai atlet pada 1992, pencapaian tertinggi Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan sebagai pelumba ialah mewakili negara di Sukan Komanwel Kuala Lumpur pada 1998.

Akan tetapi namanya mula menjadi sebutan selepas bergelar jurulatih dan berjaya melahirkan beberapa pelumba yang menaikkan nama negara di persada antarabangsa, antaranya Mohd Azizulhasni Awang yang digelar 'Pocket Rocketman', dan pemenang pingat emas Sukan SEA Indonesia 2011 Nur Fatehah Mustapha.

Pelumba kebangsaan Mohd Hariff Salleh dan pelumba pasukan Synergy Baku Cycling Projet dari Azerbaijan, Anuar Manan juga merupakan anak didiknya.

Syed Mohd Hussaini yang merupakan jurulatih kebangsaan bagi acara lebuh raya sebelum menjadi jurulatih skuad berbasikal Terengganu, turut membantu pelumba kebangsaan menaiki podium ketika siri Jelajah Thailand 2012 (ToT 2012).

Justeru bukanlah suatu yang memeranjatkan apabila jurulatih berusia 35 tahun itu sekali lagi diangkat Terengganu sebagai jurulatih terbaik menerusi anugerah yang dianjur dua tahun sekali tersebut, dalam satu majlis baru-baru ini.

"Matlamat saya ialah melahirkan seramai mungkin pelumba muda, terutama di Terengganu, untuk peringkat negeri dan kebangsaan," katanya dan menambah beliau banyak menimba pengalaman berharga ketika temasya Olimpik London 2012.

Katanya beliau banyak belajar mengenai aspek kejurulatihan ketika membantu pasukan kebangsaan bertanding dalam temasya itu.

Beliau bagaimanapun mengakui masih banyak tugas yang harus dilakukan bagi mengangkat standard pelumba tempatan, akan tetapi katanya beliau sudah mula melaksanakan apa yang dipelajari ketika di London dalam rutin latihan yang dijalankan di Kuala Terengganu.

Hasilnya positif terutama ketika Sukma 2013 di Kuala Lumpur," katanya kfi Kuala Terengganu, Isnin.

Sejak mengambil alih tugas sebagai jurulatih, Syed Mohd Hussaini menjadikan Terengganu sebagai negeri pengeluar atlet berbasikal negara.

No comments:

Post a Comment