Monday, December 2, 2013

Kes Jangkitan HIV/AIDS Menurun Sejak 10 Tahun Kebelakangan - Rosmah


Peranan Badan Bukan Kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam usaha menangani virus HIV/AIDS banyak membawa perubahan kepada kadar penurunan jangkitan virus maut sejak 10 tahun kebelakangan di negara ini.

Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor berkata peranan secara sukarela oleh Majlis dan Yayasan AIDS Malaysia misalnya telah banyak membantu pesakit AIDS, mengurangkan kadar jangkitan HIV dan mendidik masyarakat tentang virus yang masih tiada penawarnya itu.

"Kita beruntung kerana terdapat pelbagai NGO di Malaysia yang aktif dan proaktif dalam menjayakan kempen-kempen serta menyahut seruan kerajaan dalam mengekang wabak ini daripada terus merebak ke generasi lain.

"Saya pasti apa yang telah dilakukan oleh para sukarelawan ini memerlukan ketabahan yang tinggi serta perlukan minat, semangat, keprihatinan dan kesabaran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis sambutan Hari AIDS Sedunia 2013 peringkat kebangsaan di Stadium Tertutup Gong Badak di Kuala Terengganu, hari ini.

Rosmah berkata di negara ini, bilangan kes jangkitan HIV terkumpul yang dilaporkan sejak 1986 sehingga 2011 mencecah sehingga 95,000 serta hampir 15,000 kematian akibat AIDS.

Menurutnya walaupun golongan lelaki mewakili majoriti 90 peratus daripada kes HIV yang terkumpul di negara ini namun ia menunjukkan penurunan ketara sejak 2003.

Sebaliknya, katanya, kadar jangkitan dalam kalangan wanita kini merupakan 21 peratus kadar jangkitan baru pada 2011 berbanding lima peratus pada 10 tahun lalu.

Rosmah berkata dalam konteks ini, Kementerian Kesihatan melaksanakan pelbagai usaha serta inisiatif bagi menurunkan kadar jangkitan itu di samping mengadakan Program Pencegahan Transmisi HIV daripada ibu kepada bayi.

"Selain itu juga masyarakat yang ingin mengetahui status kesihatan boleh mendapatkannya di klinik kesihatan secara percuma," katanya.

Rosmah turut merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada kementerian berkenaan atas penganugerahan 'United Nation Malaysia Award 2013' baru-baru ini kerana negara menunjukkan corak penurunan jangkitan maut itu.

No comments:

Post a Comment