Monday, December 2, 2013

Piala FA Mula 21 Januari 2014, Debaran Gemuruh Kepada Peminat

Pablo Aimar, binting Argentina diikat oleh JDT akan berakdi dalam Piala FA.
Saingan Piala FA sentiasa memberikan debaran gemuruh kepada peminat bola sepak tempatan dengan aksi menarik dan elemen kejutan ditampilkan pasukan bertanding.

Ia sudah pasti membuatkan rata-rata peminat tidak sabar melihat pasukan kesayangan beraksi dalam usaha menjulang piala kedua berprestij negara itu.

Perlawanan pusingan pertama Piala FA 2014 secara rasminya akan membuka saingan pada 21 Januari depan dengan keseluruhan 30 pasukan berstatus kelab dan negeri.

Ia bakal disertai daripada 12 pasukan Liga Super, 12 pasukan dari Liga Premier dan enam pasukan yang bermain di Liga FAM termasuk juga skuad pelapis negara, Harimau Muda C.

Lebih menarik apabila finalis Piala FA musim ini, Kelantan dan Johor Darul Takzim (Johor DT) mendapat laluan mudah apabila mara secara automatik ke pusingan kedua kejohanan itu.

Naib juara Piala Malaysia 2013 itu akan menanti pemenang pusingan pertama antara pasukan Pahang Kuantan FA dan Sabah di pusingan kedua kejohanan itu nanti.

Malah, The Red Warriors dijangka tidak berdepan masalah untuk mara ke peringkat seterusnya dalam mempertahankan trofi yang dimenangi dua musim berturut-turut itu.

Mengulas lanjut mengenai peluang The Red Warriors, ketua jurulatih baharu menggantikan Bojan Hodak, Steve Darby berkata, skuad bimbingannya tidak meletakkan sebarang sasaran di Piala FA kali ini.

"Apa-apa boleh berlaku nanti. Jadi, saya tidak mahu meletakkan sebarang matlamat buat masa ini, yang penting kami perlu tumpu di pusingan kedua nanti.

"Kami mempunyai barisan pemain dan import berkualiti tinggi. Sebagai permulaan, kami mahu fokus pada perlawanan untuk setiap minggu dahulu," katanya ketika ditemui di majlis undian Piala FA di Hotel Grand Blue Wave, Shah Alam kelmarin.

Sementara itu, Johor DT yang diperkuat dengan bintang Argentina, Pablo Aimar pastinya mahu mengubat duka tewas 0-1 kepada Kelantan pada aksi final Piala FA, 29 Jun lalu.

Skuad bimbingan Cesar Ferrando Jimenez itu bakal menyahut cabaran di antara Persatuan Bola Sepak Daerah Kuala Terengganu (T-Team FC) atau Universiti Teknologi Mara (UITM FC) di pusingan kedua nanti.

Juara Liga Super musim ini, Lions XII akan bertemu juara Piala Malaysia 2013 di pusingan kedua seandainya masing-masing berjaya mencatat kemenangan di pusingan pertama. Lions XII akan bertemu KL DRB-Hicom FC manakala Pahang pula akan bertemu Perak.

No comments:

Post a Comment