Wednesday, December 25, 2013

Kukuhkan Lagi Budaya Sukarelawan, Kata Ahmad Shabery

Ahmad Shabery turu membantu mangsa banjir di Kemaman baru-baru ini.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata budaya sukarelawan di negara ini perlu diperkukuhkan terutama dalam membantu mereka yang ditimpa musibah seperti bencana banjir.

Beliau berkata negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Australia misalnya, ramai rakyatnya berdaftar sebagai sukarelawan yang membantu kerja-kerja amal terutamanya apabila berlaku bencana alam. 

"Di Australia misalnya, terdapat lima juta individu yang mendaftar sebagai sukarelawan. Pernah berlaku banjir buruk di Queensland, Australia, air tidak surut selama dua bulan, selepas surut, kerja-kerja pembersihan hanya dilakukan dalam tempoh dua minggu sahaja," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Sentuhan Kasih di Cherating, Selasa malam.

Majlis itu bertujuan mengumpul dana untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir di Kemaman dan Kuantan.

Katanya kerajaan akan memperhebat usaha meningkatkan kesedaran orang ramai agar sasaran sejuta sukarelawan mendaftar di negara ini tercapai.

Dalam masa sama, beliau berkata banjir buruk itu memperlihatkan keprihatinan rakyat Malaysia apabila banyak sukarelawan dari seluruh negara datang membantu mangsa.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menempelak pihak-pihak tertentu yang gemar melakukan pembohongan atau menyebarkan maklumat palsu ketika beberapa negeri ditimpa musibah banjir baru-baru ini.

"Ada pesanan khidmat ringkas (SMS) dari individu yang kononnya terpelajar mendakwa banjir buruk di Kemaman disebabkan Empangan Kenyir pecah. Empangan Kenyir itu mengalir ke Kuala Terengganu, bukannya ke Kemaman," katanya.

Banjir buruk yang melanda baru-baru ini terutamanya di Kemaman dan Kuantan, mengakibatkan lebih 70,000 mangsa banjir dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan.

Di Kemaman juga menyaksikan 10 daripada 49 pusat pemindahan di situ terpaksa dipindahkan berikutan pusat itu juga dinaiki air.

Banjir buruk awal Disember lepas yang disebabkan hujan luar biasa itu mengakibatkan kerugian berjuta-juta ringgit, dengan kebanyakan keluarga mengalami kerugian total.

No comments:

Post a Comment