Penjaja dan peniaga kecil di Terengganu yang mempunyai pinjaman dengan Bank Rakyat boleh menangguhkan bayaran balik pinjaman jika perniagaan mereka terjejas banjir baru-baru ini.
Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Terengganu Syamsul Badrin Mohshin berkata kelonggaran itu diberi hasil kerjasama pihaknya dan bank tersebut.
"Namun penjaja atau peniaga kecil berkenaan perlu mendapatkan laporan polis yang menyatakan mereka terlibat dan terjejas akibat bencana alam itu sebagai bukti," katanya kepada pemberita, di Kuala Terengganu hari ini.
Beliau berkata terdapat 43,226 penjaja dan peniaga kecil di Terengganu namun sehingga kini pihaknya belum mendapat maklumat jumlah mereka yang terjejas akibat banjir dan kerugian yang ditanggung.
"Kepada yang terlibat boleh datang ke pejabat kami untuk membuat laporan," katanya.
Mengulas pelaksanaan skim kawalan harga musim perayaan, Syamsul Badrin berkata pihaknya menggerakkan semua 73 pegawai penguat kuasa ke pasar-pasar setiap hari bagi memantau harga barangan kawalan.
Skim kawalan harga musim perayaan sempena sambutan Krismas bermula semalam selama empat hari, membabitkan antaranya ayam, daging kambing selain tomato dan lada benggala hijau.
No comments:
Post a Comment