Thursday, December 26, 2013

Latihan PraMusim - T-Team Pulang Lebih Awal

Bimbang letupan bom di Selatan Thailand berulang: Hasbullah Kuala Terengganu: Skuad T-Team yang sedang menjalani latihan pramusim di Selatan Thailand memutuskan untuk pulang lebih awal ke Malaysia kerana bimbang kejadian letupan bom yang menyebabkan 24 cedera di tiga lokasi berasingan di Songkhla, Ahad lalu berulang.

Ketua pasukan T-Team, Muhammad Hasbullah Awang, berkata keputusan yang dibuat pihak pengurusan untuk pulang awal dianggap sebagai satu tindakan tepat demi keselamatan mereka.

Hilang tumpuan Muhammad Hasbullah berkata, rakan sepasukan mengadu mereka tidak dapat memberi tumpuan kepada latihan dan perlawanan persahabatan sepanjang berada di negara itu.


Katanya, pemain import Brazil, Fabio Flor dan Evaldo Goncalves serta Nelson San Martin dari Chile juga tidak boleh fokus kepada pasukan dan mahu pulang awal.

"Saya tidak dapat bayangkan kerana selepas 10 minit kami yang menaiki bas melepasi Balai Polis Sadao, Songkhla, berlaku letupan bom di tiga lokasi berasingan di Danok dan Padang Besar.

"Kejadian itu membuatkan kami berasa takut dan saya bersyukur kerana kejadian itu berlaku selepas kami melepasi ketiga-tiga kawasan terbabit,” katanya semalam.

Pemain berusia 29 tahun itu berkata, kejadian letupan bom itu juga membuatkan mereka menjadi fobia dan lebih teruk gagal memberi tumpuan ketika beraksi menentang Songkhla United FC yang berkesudahan seri 1-1, malam kelmarin.

"Kami rasa terkilan juga kerana tidak dapat meneruskan satu perlawanan lagi menentang Chonburi FC, tetapi apabila difikirkan mengenai keselamatan kami di negara itu, lebih baik kami pulang awal,” katanya. 

Katanya, jurulatih dan pengurusan ada perancangan lain dalam mengatur beberapa lagi sesi perlawanan pramusim.

Difahamkan skuad kendalian Azraai Khor Abdullah yang keluar dari sempadan Thailand pada jam 4 petang kelmarin, tidak terus pulang ke Kuala Terengganu, sebaliknya berkampung di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah, untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan skuad Kenari dan Perlis.

No comments:

Post a Comment