Prihatin dengan nasib anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjadi mangsa banjir di Terengganu, sebuah syarikat insurans tampil menghulur bantuan bagi meringankan beban mereka.
Sumbangan berbentuk barangan makanan itu diserahkan Pengurus NTB Agencies (NTBA) Norihan Talib kepada Timbalan Ketua Polis Negeri Datuk Hamzah Mohd Jamil di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Terengganu di Kuala Terengganu, semalam.
Norihan berkata sumbangan ini merupakan tanggungjawab sosial korporat syarikat untuk membantu anggota PDRM yang kebanyakannya merupakan pemegang polisi insurans syarikat berkenaan.
"Sumbangan ini juga adalah sebagai salah satu cara untuk menghargai jasa dan pengorbanan pihak polis yang selama ini menjaga keamanan negara selain meringankan bebanan mereka," katanya kepada pemberita.
Sementara itu, Hamzah berkata pihaknya terharu dengan bantuan yang diterima dan merupakan sesuatu yang cukup berharga buat mereka.
"Ada antara rumah anggota yang air naik hingga ke paras bumbung...sebanyak 26 buah motosikal serta lapan buah kereta anggota musnah dan kerugian keseluruhan akibat banjir ini dianggarkan kira-kira RM2.4 juta.
"Kita akan serahkan barangan ini kepada anggota yang terlibat setelah mereka pulang ke rumah masing-masing kerana masih ada anggota yang belum dapat pulang kerana banjir belum reda," katanya.
No comments:
Post a Comment