Tuesday, December 10, 2013

Polis: Penembak Pegawai Jaip Antara 15 Ditahan

Khalid berucap ketika majlis Pelancaran Persidangan Tahunan Polis Bantuan Malaysia (APAC) ke 25, di Shah Alam,  semalam.
Polis mengesahkan seorang suspek yang menembak mati Ketua Penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Mohd Raffli Abdul Malik pada 10 November lalu adalah antara 15 individu yang ditahan sebelum ini.

Terdahulu, polis menahan 15 pengikut Ajaran Harun termasuk ketua kumpulan tersebut Harun Mat Saat, 47. Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, beliau bagaimanapun tidak boleh mendedahkan identiti suspek tersebut.

"Dia (suspek) dah dikenal pasti dan ditahan sebelum penahanan terbaru dibuat ke atas dua pengikut Ajaran Harun di Kampung Tagasan, Semporna, Sabah pada 2 Disember lalu.

"Tunggulah..bila tiba masanya kita akan beritahu siapa dia," katanya pada sidang akhbar selepas Pelancaran Persidangan Tahunan Polis Bantuan Malaysia (APAC) ke 25, di Shah Alam, semalam.

Menurutnya, ujian balistik yang dibuat ke atas pistol yang dirampas sebelum ini, turut mengesahkan bahawa senjata itu adalah senjata yang digunakan sewaktu kejadian.

Katanya, kesemua yang ditahan akan didakwa di mahkamah dalam tempoh terdekat.

Dalam perkembangan sama, Khalid turut menegaskan terdapat perkara-perkara tertentu yang diajukan media, tidak boleh dijawab oleh pihaknya.

"Ada perkara yang tidak perlu ditanya seperti motif sesuatu kejadian kerana itu adalah kerja mahkamah. 

"Jika kita bagi kenyataan dan ia salah, kita boleh dikenakan tindakan kerana menghina mahkamah. Perkara itu hanya boleh dirungkai oleh mahkamah semasa perbicaraan," katanya.

Pada 10 November lalu, Ahmad Raffli maut ditembak jarak dekat oleh seorang lelaki tidak dikenali di hadapan rumahnya di Indera Mahkota 2, Kuantan, Pahang.

Susulan itu, polis mengedarkan 27 keping gambar ketua dan pengikut Ajaran Harun yang dikehendaki pada 15 November lalu bagi membantu siasatan kes tersebut. Polis kemudiannya, menahan Harun, isterinya, Nor Azida Mohd Zol, 30, serta pemandunya, Nor Hairi Harun, 41, di Tangkak, Johor, pada 20 November lalu. 

Dalam tempoh 10 hari siasatan dibuat, polis menahan 10 lagi individu dan merampas senjata yang digunakan sewaktu kejadian. Polis kemudiannya mengedarkan gambar 10 lagi pengikut kumpulan tersebut, sebelum menahan dua daripada mereka di Sabah pada Sabtu lalu.

No comments:

Post a Comment