Tuesday, December 3, 2013

PAC Panggil JKR Berkaitan Kos Lebuh Raya Pantai Timur


Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Kementerian Pendidikan, Jabatan Kerja Raya dan Finas bagi memberi penjelasan berkaitan Laporan Ketua Audit Negara 2012 Siri 3 bulan depan. 

Pengerusinya Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata keputusan itu dibuat selepas mendengar taklimat daripada Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang mengenai laporan berkenaan di bangunan Parlimen semalam.

"Kami memutuskan untuk memanggil Jabatan Kerja Raya untuk menjelaskan mengenai pembinaan projek Lebuh Raya Pantai Timur yang pada mulanya anggaran kos RM2.2 bilion tetapi akhirnya disiapkan dengan kos RM2.9 bilion," katanya kepada pemberita selepas taklimat itu semalam.

Terdahulu, anggota jawatankuasa PAC mendengar taklimat berhubung laporan itu membabitkan Penyata Kewangan dan Pengurusan Kewangan; Aktiviti Kementerian, Jabatan dan Pengurusan Syarikat Persekutuan serta Badan-badan Berkanun Persekutuan yang dibentangkan di Dewan Rakyat.

Nur Jazlan berkata PAC turut memutuskan untuk memanggil Kementerian Pendidikan berikutan sebuah projek pembinaan kapal penyelidikan 'RV Discovery' oleh Universiti Malaysia Terengganu yang belum siap dan telah lewat tiga tahun.

Katanya Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) pula akan dipanggil bagi memberi penjelasan berikutan ia mendapat kadaran tidak memuaskan dalam soal pengurusan akaun badan berkenaan.

"Finas dapat kadaran tidak memuaskan kerana ada isu mengenai penyerahan akaun yang sepatutnya dibuat tetapi tidak dibuat oleh anggota Finas sendiri," katanya.

No comments:

Post a Comment