Tuesday, December 3, 2013

Tunggakan Bayaran Balik Pinjaman Bagi Terengganu Menurun

Ketua Audit Negara berkata tunggakan bayaran balik pinjaman kerajaan negeri telah meningkat RM0.301 bilion daripada RM3.049 bilion pada 2011 kepada RM3.350 bilion pada akhir tahun lepas.

Peningkatan tunggakan itu melibatkan kerajaan negeri Kedah, Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan, Melaka, Perlis, Sarawak dan Sabah. Manakala tunggakan bayaran balik pinjaman bagi Terengganu, Johor, Perak, Selangor dan Pulau Pinang telah menurun.

Menurut Siri ketiga Laporan Ketua Audit Negara yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam, tunggakan pinjaman itu disebabkan kerajaan negeri membuat bayaran balik kurang daripada anuiti tahun semasa, iaitu Sabah hanya membayar 96.8 peratus diikuti Perlis (38.3 peratus), Kedah (13.1 peratus), Negeri Sembilan (7.7 peratus), Perak dan Kelantan (5.9 peratus), Pahang (5.7 peratus) dan Melaka (2.5 peratus).

Kerajaan negeri Terengganu, Johor, Selangor, Sarawak dan Pulau Pinang pula telah membuat bayaran balik melebihi anuiti tahunan semasa.
Secara keseluruhan hanya sejumlah RM519.87 juta telah dibayar balik oleh kerajaan negeri tahun lepas berbanding RM3.953 bilion yang sepatutnya dikutip kerajaan persekutuan.

Ketua Audit Negara turut mengesyorkan Bahagian Pinjaman Perumahan supaya lebih proaktif dalam mengesan peminjam yang mempunyai tunggakan terutama melibatkan pegawai yang masih berkhidmat. 

Walaupun Arahan Potongan Gaji secara dalam talian telah dilaksanakan, audit berpendapat usaha proaktif mengesan peminjam perlu dilaksanakan dengan kerjasama kementerian atau jabatan bagi memastikan tunggakan bayaran balik tidak terus meningkat di masa depan.

Mengikut laporan itu, bayaran balik pinjaman perumahan yang tertungggak sehingga akhir tahun lepas berjumlah RM850.40 juta, melibatkan 50,291 peminjam.

Peningkatan sebanyak RM70.62 juta atau 9.1 peratus berbanding tahun 2011 itu antara lain disebabkan peningkatan pinjaman tertunggak pegawai yang meletak jawatan, dibuang kerja dan tamat perkhidmatan. 

Audit juga mendapati bilangan peminjam yang mempunyai tunggakan bayaran meningkat sebanyak 5,702 orang berbanding 2011, membabitkan kategori perkhidmatan tentera sebanyak 839 orang, polis 477 orang dan selebihnya lain-lain kakitangan kerajaan.

Sehubungan itu, Ketua Audit Negara mahu tindakan lebih tegas dan berkesan diambil bagi menambah baik prestasi pengurusan kewangan selain penyediaan panduan kerja yang jelas, penyeliaan rapi terhadap tugas pegawai di samping latihan dan motivasi berterusan perlu diberikan kepada semua kakitangan.

No comments:

Post a Comment