Friday, December 6, 2013

Paras Takungan Normal - Empangan Kenyir Tidak Perlu Lepaskan Air



Pihak pengurusan Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud hari ini  menafikan dakwaan bahawa mereka akan melepaskan air Empangan Kenyir bagi menurunkan paras takungan.

Pengurus Besar stesen Mohd Aidee Hamidin berkata paras air di empangan itu sekarang ialah pada ketinggian 138 meter, iaitu paras normal.

"Empangan ini memerlukan takungan air yang banyak untuk menjana elektrik, justeru dakwaan kami akan melepaskan air untuk mengurangkan takungan sekali gus menyebabkan banjir besar, adalah tidak benar," katanya hari ini.

Beliau mengulas dakwaan yang tersebar menerusi media sosial sejak tiga hari lepas bahawa pengurusan Empangan Kenyir akan melepaskan air dan menyebabkan banjir besar di kawasan sekitar yang mencetuskan kebimbangan penduduk.

Datuk Jailani Johari 
"Paras air di Tasik Kenyir sebelum ini adalah rendah dan memang kita tunggu musim hujan ini untuk mengisi Tasik Kenyir supaya dapat memperoleh paras air yang tinggi untuk kita beroperasi selama setahun," katanya lagi.

Beliau juga menjelaskan jika berlaku banjir di kawasan sekitar, bencana itu disebabkan oleh hujan lebat bukan kerana pelepasan air empangan.

Semalam, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari meminta orang ramai supaya hanya mempercayai dan mengguna pakai maklumat mengenai banjir yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa melalui media yang sah sahaja.

Beliau berkata mereka tidak sepatutnya mempercayai khabar angin yang tersebar di laman Facebook, Blog dan mesej 'Whatsapp'.

"Kita seharusnya mendapatkan laporan daripada pihak berkuasa kerana biasalah, orang yang ingin menimbulkan kekecohan akan menimbulkan berita-berita yang tidak benar, seperti kononnya banjir ini disebabkan pelepasan air di Empangan Kenyir dan sebagainya hingga menyebabkan penduduk panik.

"Kami telah menemu bual pihak berkuasa Kenyir dan difahamkan tidak ada sebarang pelepasan air yang dibuat dan saya harap masyarakat di luar harus berhati-hati dan hanya mengguna pakai maklumat yang dikeluarkan pihak berkuasa," katanya selepas melawat Pusat Gerakan Banjir di Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Terengganu.

Beberapa hari lalu, orang ramai cemas apabila kononnya Empangan Kenyir di Terengganu dan Empangan Kobat di Pahang akan melepaskan air secara berperingkat seperti yang disebarkan melalui media sosial. 

Penyebaran berita berkenaan terlalu pantas hingga mencetuskan situasi panik penduduk yang tinggal berdekatan dengan sungai dan empangan itu.

Terdahulu, Jailani meninjau pergerakan operasi, penyelarasan maklumat dan bantuan banjir di pusat gerakan banjir itu. Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat mengenai perkembangan banjir terkini di Terengganu termasuk jalan-jalan yang ditutup, boleh melayari laman web http://etindakan.terengganu.gov.my/ atau menghubungi Bilik Gerakan Bencana Negeri di talian 09-6316021.

Talian lain yang boleh dihubungi ialah Bilik Gerakan Jabatan Kebajikan Masyarakat 09-6274277, Bilik Gerakan Bomba dan Penyelamat 09-6234444, Bilik Gerakan Jabatan Pertahanan Awam 09-6664233 serta Pusat Kawalan Kontinjen Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) 09-6270499.

No comments:

Post a Comment