Thursday, December 26, 2013

Pembinaan Kompleks Bebas Cukai Tasik Kenyir Lancar


Kerja-Kerja pembinaan kawasan bebas cukai di kawasan Tasik Kenyir berjalan lancar dan dijangka siap sepenuhnya pada Oktober tahun depan.

Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terenggnau Tengah (Ketengah), Wan Mat Amin Wan Daud berkata, pembinaan kawasan bebas cukai yang pertama seumpamanya di dunia itu membabitkan lima pakej dan dijangka mula beroperasi pada awal 2015.

"Secara purata, semuanya sudah siap sehingga 35 peratus. Namun ada pakej yang sudah berjalan sehingga 75 peratus.

"Antara yang sedang giat berjalan ialah pembinaan kompleks kastam di Pangkalan Gawi (tanah besar) manakala rangkaian pusat perniagaan, jeti dan sebagainya pula di Pulau Bayas di dalam kawasan tasik berkenaan," katanya kepada pemberita di Hulu Terengganu, hari ini.

Beliau berkata, secara keseluruhan, kerajaan negeri Terengganu memperuntuk kira-kira RM300 juta bagi membangunkan kawasan bebas cukai yang berkonsep 'factory outlet' itu.

Wan Mat Amin berkata, status Tasik Kenyir sebagai pulau bebas cukai akan membantu menarik lebih ramai pelancong ke Terengganu sekali gus meningkatkan tahap ekonomi rakyat terutama penduduk di kawasan berkenaan.

"Diharap projek berkenaan akan menjadi pemangkin sektor pelancongan negeri itu kerana selama ini, Tasik Kenyir dianggap sebagai tasik yang 'tidur' dengan hampir 30 tahun tiada pembangunan.

"Dengan pembangunan kawasan bebas cukai dan yang berkonsep 'pakej dari pulau ke pulau' yang kita perkenalkan serta tarikan rangka manusia prasejarah di Gunung Bewah, ia akan menjadi destinasi tarikan pelancong yang menarik," katanya.

Beliau berkata, peruntukan itu juga melibatkan pembangunan prasarana pelancong di tasik 340 pulau itu, antaranya Taman Tema, Taman Orkid, Taman Herba, Taman Burung, Taman Rama-Rama, Taman Buah-Buahan Nadir selain Santuari Gajah dan Kelah. Katanya, ini tidak termasuk pembangunan perhotelan yang akan dibangun oleh pihak swasta yang membabitkan peruntukan besar.

No comments:

Post a Comment