Wednesday, December 11, 2013

Peserta Malaysia Juarai Terengganu International Rainforest Challenge 2013


Terengganu International Rainforest Challenge (RFC) 2013 yang melabuhkan tirai semalam menyaksikan kehebatan anak Malaysia menguasai aksi lasak itu yang disertai 300 peserta dari 25 negara.

Pasangan Tan Eng Joo dan anak saudaranya Tan Choon Hong yang menggunakan kenderaan pacuan empat roda Suzuki Jimmy muncul juara, disusuli dua pasangan dari Rusia, Kulbak Roman/Kovalenko Evgenii (naib juara) dan Alexander Nikolaev/Dmitry Kalinin (ketiga).

Tan, 50, dari Batu Pahat, Johor, berkata beliau dan anak saudaranya Choon Hong, 28, tidak menyangka dapat menewaskan peserta luar negara memandangkan RFC kali ini lebih mencabar kerana berlangsung dalam musim tengkujuh.


"Kami meredah hujan dan banjir serta banyak pokok tumbang sepanjang perjalanan. Laluan paling sukar adalah Air Terjun Chemerong, Hulu Dungun sebab di situ jalan memang sangat licin ditambah hujan lebat," katanya kepada pemberita selepas penyampaian hadiah RFC, di Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke majlis itu yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.

Sementara itu Ahmad Said ketika ditemui pemberita, berkata acara tersebut akan dijadikan program tahunan Terengganu dan dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri.

"Kerajaan negeri juga bersedia menaja keperluan dan peruntukan bagi acara itu yang sangat berpotensi untuk memperkenalkan Terengganu di mata dunia," katanya.

Antara negara yang mengambil bahagian dalam RFC yang bermula 30 Nov lalu ialah Singapura, Australia, Sepanyol, Britain, Belanda, China, Rusia serta Colombia. Laluan membabitkan antaranya Hutan Simpan Merchang di Hulu Dungun, Bandar Al Muktafi Billah Shah, Hulu Kemaman; dan Kuala Terengganu.

No comments:

Post a Comment