Wednesday, December 11, 2013

Taib Ramal Sarawak Muncul Negeri Termaju Di Malaysia


Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud Selasa meramalkan Sarawak akan melonjak menjadi negeri termaju di negara ini daripada tempat ketiga ketika ini apabila program Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) dilaksanakan sepenuhnya.

Keyakinan beliau Sarawak akan mencapai status itu menjelang 2030 adalah berasaskan semangat setiakawan yang terjalin di antara kepimpinan tertinggi negeri dengan penjawat awam serta dedikasi perkhidmatan awam peringkat negeri dan persekutuan dalam memberi fokus terhadap program pembangunan negara.

"Bukan kerana kita bernasib baik, tetapi kerana kita telah belajar melalui khidmat dan pendedahan yang begitu lama tentang cara menyesuaikan program pembangunan dengan kepakaran kita dan hal-ehwal setempat dalam mengajak rakyat mengambil bahagian mempercepatkan langkah pembangunan di negara kita,"katanya.

Taib berkata demikian ketika merasmikan Hari Perkhidmatan Awam 2013 dan pelancaran kiosk e-kerajaan pertama di Plaza Merdeka di Kuching.

Hadir sama pada majlis itu Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Mohamad Morshidi Ghani dan Setiausaha Persekutuan Datuk Md Yahaya Basimin. 

Ditubuhkan sebagai antara pendekatan kerajaan untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan maningkatkan taraf hidup rakyat, SCORE dijangka menarik pelaburan berjumlah RM200 bilion daripada pelbagai syarikat multinasional, terutama yang terlibat dengan sektor berintensifkan tenaga.

"Kita mencapai kejayaan besar dengan menjadi sebahagian daripada Malaysia, menyumbang ke arah kewujudan sebuah negara yang lebih hebat," kata Ketua Menteri Sarawak itu.

Terdahulu, Mohamad Morshidi berkata Sarawak, dengan keluaran dalam negara kasar sebenar (KDNK) sebanyak RM71.9 bilion, mewakili 10 peratus daripada KDNK nasional, yang meningkat sebanyak lebih 57 kali daripada RM688 pada 1963 kepada RM40,414 tahun lepas.

Pada majlis itu, Lembaga Pelabuhan Miri menerima Anugerah Kualiti Perkhidmatan Awam Negeri 2013, dikenali sebagai Anugerah Emas Ketua Menteri Sarawak bagi kategori negeri, manakala Kumpulan Wang Simpanan Pekerja Sarawak menerima Anugerah Emas Setiausaha Kerajaan Persekutuan 2013.

No comments:

Post a Comment