Impian Terengganu untuk melangkah ke pentas akhir kejohanan bola sepak Piala Emas Raja-Raja tahun ini tidak kesampaian setelah disekat oleh Perlis dalam saingan timbal balik di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di Kuala Terengganu Ahad malam.
Perlawanan yang berkesudahan seri tanpa jaringan itu mengakhiri saingan Terengganu di mana pada separuh akhir pertama di tempat lawan pada 2 Dis lalu, Terengganu kecundang 1-2 kepada pasukan Singa Utara itu.
Pengurus pasukan Terengganu, Nor Zaidi Mohamed berkata Terengganu gagal mengambil peluang di perlawanan itu kerana mereka bermain di bawah tekanan.
Beliau berkata pada perlawanan malam tadi, Terengganu memerlukan kemenangan 1-0 untuk membolehkan mereka melangkah ke saingan akhir piala tersebut.
"Kami bermain di bawah keupayaan sebenar, kerana inginkan kemenangan satu gol tetapi gagal. Sebab itu, semangat pemain luntur dan apa yang mereka lakukan serba tidak menjadi," katanya.
Kali terakhir Terengganu layak ke saingan akhir Piala Emas Raja-Raja adalah pada tahun 2000.
No comments:
Post a Comment