Monday, December 30, 2013

Program Tahfiz Masjid Kristal Kian Dapat Tempat

Program tahfiz kian dapat tempat Ghazali (dua, kiri) dan Wan Adnan (kiri) bersalaman dengan peserta Program Tahfiz Cuti Sekolah Masjid Kristal Modul 11 di Pusat Konvensyen TTI.
Program Tahfiz Cuti Sekolah Masjid Kristal kendalian Taman Tamadun Islam (TTI) Management Sdn Bhd dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) telah mengendalikan hampir 800 pelajar, sejak mula diperkenalkan pada 2008.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Inovasi dan Tugas-tugas Khas negeri, Ghazali Taib berkata, jumlah itu sangat memberangsangkan dan menunjukkan kesedaran ibu bapa mengenai pendidikan agama dan Al-Quran.

Menurutnya, program tersebut yang dikendalikan Unit Pengurusan Masjid Kristal TTI Management Sdn Bhd dan diadakan dua kali setahun, merangkumi kelas hafazan, hal-hal fardu ain, kem ibadah dan riadah.

“Saya difahamkan, pihak TTI Management Sdn Bhd merupakan perintis kepada penganjuran program tahfiz cuti sekolah di negeri Terengganu dan menjadi ikutan serta rujukan kepada institusi dan masjid lain sekitar Kuala Terengganu.

“Daripada rekod yang diberikan, seramai hampir 800 pelajar telah mengikuti Program Tahfiz Cuti Sekolah Masjid Kristal sejak 2008. Saya yakin dengan statistik itu, ia telah mencapai standard kemantapan dan kematangannya yang tersendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutup Program Tahfiz Cuti Sekolah Masjid Kristal Modul 11 di Pusat Konvensyen TTI.

Turut hadir, Pengarah Urusan TTI Management Sdn Bhd, Wan Adnan Wan Derahman. Program tersebut disertai kanak-kanak dan remaja berusia 8 hingga 16 tahun manakala, tenaga pengajarnya terdiri daripada lulusan tahfiz Al-Quran dari dalam dan luar negara serta turut memiliki ijazah dalam bidang berkaitan.

Jelas Ghazali, kepercayaan ibu bapa terhadap program itu dapat dibuktikan berdasarkan rekod pertambahan pelajar seramai 80 peratus.

“Untuk siri kali ini, kita ambil 273 orang, berbanding siri lain, kita ambil dalam 160 orang sahaja. Itu pun pihak urus setia terpaksa menolak permohonan penyertaan yang lain seramai 200 permohonan di atas faktor logistik dan saringan biasa.

“Saya bangga dengan keprihatinan dan kesedaran ibu bapa yang telah ditunjukkan dengan peningkatan permohonan yang berganda ini,” katanya.

Jelasnya, pihak kerajaan negeri melalui agensi seperti Maidam dan sebagainya, akan berterusan menyokong dari segi kewangan dan bantuan-bantuan lain agar program yang telah membuahkan hasil ini akan menjadi program tahfiz yang terunggul di Terengganu.

Selain itu katanya, dia mengharapkan pihak lain seperti Institut Al-Quran Terengganu (IQ) dan Maidam dapat mewujudkan satu jawatankuasa bagi membantu pihak TTI Management Sdn Bhd dalam menilai dan seterusnya membuat penambahbaikan terhadap program ini agar menjadi lebih komprehensif.

SH Online

No comments:

Post a Comment