Monday, December 30, 2013

Tasik Kenyir Sedia Sambut Ketibaan Tetamu Tahun Melawat Malaysia 2014

Tasik Kenyir, yang merupakan satu daripada destinasi pelancongan utama Terengganu, bersedia menyambut ketibaan pelancong dari dalam dan luar negara bersempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014.

Pengarah Pembangunan Tasik Kenyir Mokhtar Che Ali berkata menjelang TMM 2014, pihaknya yakin jumlah pengunjung ke tasik peranginan itu akan mencecah 500,000 orang.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengiringi Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari melawat sekitar Tasik Kenyir semalam.

Mokhtar juga berkata pelbagai acara diatur oleh pihaknya termasuk acara terbesar iaitu Festival Tasik Kenyir yang berlangsung selama sebulan.

Beliau berkata Tasik Kenyir, yang menempatkan beberapa resort, mempunyai kemudahan kira-kira 300 bilik selain 30 rumah bot dan jumlah itu dijangka bertambah sekali ganda dalam temboh beberapa tahun lagi selepas projek pulau bebas cukai di Pulau Bayas beroperasi pada awal 2015.

Antara tarikan utama Tasik Kenyir ialah Pulau Herba, Taman Burung, Taman Orkid dan Santuari Kelah. Mokhtar juga berkata pembangunan infrastruktur telekomunikasi yang lebih baik di kawasan itu akan memberi keselesaan kepada pengunjung.

No comments:

Post a Comment