Monday, December 2, 2013

'Skuad Sukarela Puteri' Ditubuh Bantu Penduduk


Pergerakan Puteri UMNO Terengganu menubuhkan 'Skuad Sukarela Puteri' untuk membantu penduduk setempat jika berlaku banjir atau sebarang bencana di negeri ini.

Ketuanya, Rozita Ismail berkata, kira-kira 1,600 ahli di seluruh negeri akan digerakkan dalam skuad tersebut yang melibatkan 200 orang setiap bahagian.

Menurut beliau, setiap satu skuad akan disertai antara 10 hingga 15 orang yang akan menghulurkan tenaga bagi memberi khidmat untuk meringankan bebanan mangsa bencana terutama di daerah masing-masing. 

"Oleh kerana pada masa ini Terengganu sedang menghadapi musim tengkujuh, skuad tersebut akan memberi tumpuan untuk membantu mangsa banjir," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui pada majlis penyerahan Tabung Haiyan oleh Ketua-Ketua Puteri Bahagian, di Kuala Terengganu, semalam.

Sehubungan itu katanya, Ketua Puteri Bahagian telah diminta mengenal pasti lokasi pusat-pusat pemindahan yang disediakan oleh kerajaan negeri bagi memudahkan bantuan diberikan.

Rozita berkata, skuad tersebut akan membantu mangsa banjir terutama di pusat-pusat pemindahan serta bekerjasama dengan agensi lain seperti membantu dalam penyediaan makanan dan sebagainya.

Menurut beliau, selain membantu ketika banjir, Skuad Sukarela Puteri juga akan membantu mangsa selepas banjir termasuk membersih kawasan persekitaran penempatan.

"Skuad sukarela itu akan digerakkan jika ada mangsa banjir yang dipindahkan di pusat-pusat pemindahan banjir," ujarnya.

Pada majlis itu sebanyak RM17,113.65 dapat dikutip daripada lapan Bahagian Puteri di seluruh negeri bagi mengisi tabung yang dilancarkan seluruh negara oleh Puteri UMNO Pusat.

No comments:

Post a Comment