Usahawan Melayu kecewa apabila sukar untuk mendapat pinjaman daripada agensi terlibat untuk mengembangkan perniagaan.
Setiausaha Kehormat Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu Terengganu (DPPMT), Ahmad Azman Mohd Tajuddin berkata, walaupun ramai usahawan sederhana bercita-cita tinggi untuk menjadi lebih maju dan dinamik namun kekangan dana sering menghalang mereka untuk berbuat demikian.
Kata Ahmad Azman, pihaknya banyak menerima aduan mengenai kepayahan usahawan Melayu untuk mendapat pinjaman yang nilainya lebih besar.
“Kalau setakat RM5,000 hingga RM10,000, apalah sangat dapat dibuat dengan duit itu pada masa sekarang, tambah pula bagi mereka (usahawan) yang ingin berjinak dalam bidang yang lebih besar.
"Kalau usahawan kerepek dan keropok tentunya jumlah itu sudah cukup tetapi bagaimana nasib usahawan sederhana," katanya pada Majlis Pelancaran Mobile Make Up di pejabatnya, di Kuala Terengganu.
Hadir sama, Pengarah Suruhanjaya Syarikat Malaysia Terengganu, Rohaimi Abdul Manan dan Pengarah Urusan Akademi Kecantikan Noori, Noryati Alias serta agensi terlibat.
Ahmad Azman yang bimbang dengan perkembangan itu berharap kerajaan perlu memberi tumpuan kepada golongan ini terutamanya usahawan Melayu.
“Kerajaan seharusnya mengadakan perbincangan dengan kami (usahawan), apakah keperluan bagi usahawan seperti mana yang pernah dilakukan pentadbiran sebelum ini.
“Tidak dinafikan ada sesetengahnya beranggapan, pembangunan yang ada di Terengganu bakal membuka peluang kepada usahawan, tetapi terlebih dahulu kerajaan harus mendalami kehendak kami.
Perkara inilah yang menjadi kerisauan kepada saya serta usahawan lain,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Azman berkata, DPPMT yang kini mempunyai lebih kurang 70 orang ahli mendedahkan hanya 40 peratus daripada jumlah itu terdiri daripada golongan muda.
Diharap selepas ini kerajaan lebih peka terhadap nasib usahawan Melayu terutama golongan muda untuk menggalakkan mereka menceburi bidang perniagaan yang lebih dinamik.
No comments:
Post a Comment