Monday, December 16, 2013

SME Corp Salur RM17.6 Juta Kepada 114 Usahawan Di Terengganu Sejak 2007

SME Corporation Malaysia memperuntukkan RM17.6 juta kepada 114 usahawan di Terengganu yang mengusahakan pelbagai bidang perniagaan sejak 2007.

Daripada jumlah itu, sebanyak 29 peratus peruntukan disalurkan kepada bidang perniagaan berasaskan makanan dan minuman, simen dan perkayuan (17 peratus), minyak dan gas (14 peratus) dan tekstil serta pakaian (11 peratus) manakala bakinya disalurkan untuk bidang lain.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Rohana Ramly berkata setakat ini pihaknya berpuas hati terhadap prestasi dan pembangunan industri Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Terengganu. 

"Setakat ini kesemua usahawan yang mendapat geran SME Corp menunjukkan prestasi pertumbuhan yang memberangsangkan, malah sentiasa memberi komitmen padu dalam apa sahaja usaha yang dijalankan untuk melonjakkan perniagaan mereka.

"SME Corp dengan kerjasama rapat agensi kerajaan yang lain, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu sentiasa memantau perkembangan perniagaan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Bengkel Pembungkusan dan Penjenamaan & Seminar Persijilan Halal Malaysia yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi Terengganu, Roslee Daud di Kuala Terengganu, semalam.

Seramai 200 peserta IKS dari seluruh Terengganu menyertai bengkel itu yang diadakan selama dua hari yang berakhir hari ini.

Objektif penganjuran bengkel itu bertujuan memberi kesedaran kepada PKS berkenaan mengenai pentingnya persijilan halal dan pembungkusan serta penjenamaan inovatif bagi memenuhi keperluan pasaran global.

Rohana berkata peserta yang hadir berpeluang mempelajari tentang Akta Perihal Dagangan 2011 oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), persijilan halal oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dan pelbagai aspek kebersihan, kesihatan dan keselamatan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu.

"Melalui bengkel ini juga, peserta didedahkan mengenai SIRIM Berhad dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) yang turut memberi fokus mengenai pentingnya penjenamaan inovatif, pembungkusan dan reka bentuk produk terhadap syarikat.

 "Aspek pembungkusan dan pelabelan produk adalah antara ciri penting yang menentukan kebolehpasaran sesuatu produk untuk menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa," katanya.

Bermula semalam juga, masyarakat di sekitar Terengganu boleh datang ke Hotel Prinzpark di Kuala Ibai untuk melihat dengan lebih dekat 'Brand Transformer' iaitu sebuah kontena yang diubah suai, yang menempatkan pelbagai maklumat berkaitan perkhidmatan keusahawanan yang disediakan SME Corp. 

Rohana berkata sejak diperkenalkan pada 2011, kontena itu telah menjelajah 18 lokasi, dengan tiga lokasi terakhir di Pahang dan Kelantan sebelum menutup tirai tahun 2013.

"Usahawan yang datang akan diberi penerangan mengenai peluang untuk mereka mendapatkan geran SME Corp serta peluang untuk mendapatkan maklumat mengenai manfaat penjenamaan dan pembungkusan produk.

"Sehingga kini, kira-kira 7,000 usahawan mengunjungi 'Brand Transformer ini," katanya.

No comments:

Post a Comment