Monday, December 16, 2013

T-Team Uji Dua Pemain Import Ketika Bertemu PKNS Dan ATM

Patrich Steve Wanggai
Pasukan berstatus kelab T-Team akan mengadakan dua siri perlawanan persahabatan bersama Selangor PKNS dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di ibu negara minggu ini sebagai pemanas badan sebelum beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

Ketua Pegawai Eksekutif T-Team, Abdul Rashid Jusoh berkata dalam masa yang sama juga pihaknya akan menguji dua senarai nama pemain import buat kali terakhir sebelum hanya salah seorang dipilih untuk mengisi kuota pasukan tersebut sebelum tarikh tutup pendaftaran pemain import pada esok ( 17 Dis).

"Kita masih memerlukan seorang lagi diletakkan dalam posisi penyerang di mana kita akan menguji dua nama dalam senarai iaitu Elvado Goncalves (Brazil) dan Andre Buengo (Angola).


"Kedua-dua pemain ini, sebenarnya kami telah uji dalam satu perlawanan amal bertemu Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah dua hari lepas tetapi susah nak dinilai prestasi mereka ekoran permainan masa itu di atas padang becak," katanya Jumaat.

Beliau berkata atas sebab itulah, kedua-dua pemain berkenaan terpaksa diuji sekali, cumanya kali ini di luar Terengganu bagi memastikan pemain manakah yang bakal menyarung jersi T-Team musim depan.

Abdul Rashid berkata menurut pandangan pengendali T-Team, Mohd Azraai Khor Abdullah, kedua-dua pemain tersebut merupakan antara peman terbaik yang dipercayai mampu menolong T-Team.

Beliau berkata T-Team memerlukan seorang lagi penyerang untuk digandingkan dengan penyerang import dari Indonesia Patrich Steve Wanggai bagi memperkuatkan di bahagian serangan di samping mencukupkan kuota empat pemain import.

Katanya T-Team sekarang sudah ada tiga pemain import masing-masing selain Wanggai, Fabio Flor de Azevedo (Brazil, Pertahanan), Nelson San Martin (Chile, Midfield).

Menurut Abdul Rashid, T-Team akan mengadakan perlawanan persahabatan tersebut dimulai pada Ahad ini dengan pasukan Selangor PKNS dan diikuti ATM.

No comments:

Post a Comment