Tuesday, December 17, 2013

SOP Polis Terengganu Pada Tahap Terbaik - Ketua Polis Negeri

Prosedur Operasi Standard (SOP) Polis Terengganu dalam menghadapi bencana banjir ketika ini berada pada tahap terbaik, kata Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa.

Bagaimanapun, katanya tahap kesiapsiagaan polis Terengganu dalam menghadapi bencana itu akan terus dipertingkatkan. "SOP yang digunakan polis ketika ini adalah berpandukan kepada arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta perintah daripada Ketua Polis Negara," katanya semasa melawat anggota polis yang menjadi mangsa banjir di Balai Polis Pasir Gajah di Kemaman, kelmarin.

Dalam lawatan itu, beliau turut menyerahkan sumbangan berupa makanan dan peralatan dapur kepada sembilan anggota polis dari balai itu yang menjadi mangsa banjir.



Menurut rekod, 72 anggota polis dari daerah Kemaman dan Dungun bersama-sama 333 anggota keluarga mereka menjadi mangsa banjir.

Jumlah kerugian dianggarkan bernilai RM2.36 juta membabitkan harta benda termasuk lapan buah kereta persendirian dan 20 motosikal.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Che Suza Che Hitam yang ditemui ketika mengiringi Jamshah dalam lawatan itu, memaklumkan polis menerima dua laporan kes pecah rumah dan satu kes curi bot gentian sepanjang banjir melanda, bermula 2 Dis lepas hingga semalam.

No comments:

Post a Comment