Tuesday, December 10, 2013

SPA Jadual Semula Temuduga, Peperiksaan Di Negeri Terlibat Banjir

Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA)akan membuat penjadualan semula sesi temuduga dan peperiksaan kepada calon yang tidak dapat hadir untuk sesi berkenaan di negeri terlibat banjir iaitu Pahang, Terengganu, Kelantan dan Johor.

Pengerusi SPA Tan Sri Mahmood Adam berkata calon yang tidak dapat menghadiri peperiksaan memasuki perkhidmatan Penolong Pegawai Kawalan Trafik Udara Gred A29 pada 7 Dis lepas akan berpeluang mendudukinya semula pada 4 Jan 2014.

"Mereka boleh menghubungi talian utama SPA iaitu 03-8885 6000 atau urus setia Bahagian Peperiksaan 03-8880 6410/6405/6486 atau e-mel kepada subpe@spa.gov.my," katanya dalam kenyataan semalam.

Mahmood berkata SPA turut menjadual semula sesi temuduga dari 3 hingga 20 Dis untuk jawatan Pemeriksa Kapal Terbang Gred A41, Pegawai Tadbir dan Diplomatik Gred M41, Pegawai Sains (Zoologi) Gred C41, Pegawai Sains (Forensik) Gred C41, Pegawai Sains (Fizik Kesihatan) Gred C41 dan Pegawai Penyelidik Gred Q41.

Bagi calon yang tidak dapat menghadiri temuduga itu akibat banjir, mereka boleh menghubungi talian utama SPA di talian 03-8885 6000 atau Bahagian Pengambilan 03-8880 6484/6482 atau e-mel kepada subpg@spa.gov.my

"SPA memohon maaf atas kesulitan penjadualan peperiksaan dan temuduga yang berlangsung di empat negeri terlibat.

"Penjadualan itu diharap akan membantu serta mengurangkan beban calon mangsa banjir dalam membuat persiapan peperiksaan dan temuduga yang dijadualkan," katanya.

Calon juga boleh membuat semakan penjadualan peperiksaan dan temuduga di laman web SPA di www.spa.gov.my.

No comments:

Post a Comment