Persatuan Renang Amatur Terengganu (PRAT) telah mendapatkan khidmat seorang jurulatih dari China dalam usaha membentuk pasukan renang yang mantap bagi menghadapi saingan Sukan Malaysia (Sukma) di Perlis, tahun depan.
Setiausaha PRAT Yan Kong Lee berkata jurulatih itu ialah Li Zhong, 27 tahun, yang merupakan bekas pelatih kelab renang Liaoning di China sebelum berhijrah ke sini, bulan lepas.
"Dia berada di Terengganu sejak 20 Nov lepas dan telah pun memulakan tugas melatih atlet-atlet renang Terengganu," katanya semalam.
Katanya Li Zhong telah mengikat kontrak dengan Majlis Sukan Negeri (MSN) selama dua tahun.
Dengan pengalaman jurulatih China itu, Yan beryakinan skuad renang Terengganu mampu membuat kejutan dalam acara renang pada sukan dwi-tahunan itu dari 24 Mei hingga 4 Jun depan.
Beliau berkata sebelum kehadiran Li Zhong, PRAT menggunakan khidmat bekas jurulatih kebangsaan Foo Yock Meng untuk melatih atlet-atlet renang negeri Terengganu.
Bagaimanapun, katanya Foo telah menarik diri daripada melatih atlet-atlet Terengganu awal tahun ini dan pulang ke kampung halamannya di Ipoh, Perak atas sebab kesihatan.
Menurutnya Li Zhong akan membimbing kira-kira 30 atlet renang dan daripada jumlah itu, PRAT akan menyenarai pendekkan 10 orang untuk membawa cabaran di Sukma itu nanti.
Pada Sukma Pahang 2012, Terengganu gagal menyerlah dalam acara renang.
No comments:
Post a Comment