Thursday, December 5, 2013

1,402 Inspektor Naik Pangkat Ke ASP

Kerajaan bersetuju menaikkan pangkat seramai 1,402 anggota polis berpangkat Inspektor kepada Asisten Superitenden Polis (ASP), mulai Januari depan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata kesemua mereka merupakan anggota yang sebelum ini berpangkat Cif Inspektor sebelum ditukarkan kepada Inspektor setelah jawatan Cif Inspektor dimansuhkan.

"Ini merupakan satu perkara yang ditunggu-tunggu terutama oleh Persatuan Inspektor Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan pegawai awam PDRM bersama Ketua Polis Negara di Melaka, semalam.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman.

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan sudut khas sejarah pegawai awam di Muzium PDRM bagi menghargai pegawai awam yang memulakan khidmat sejak penubuhan pasukan polis di bawah kerajaan British pada 25 Mac 1807.

Khalid berkata anggota polis berpangkat Inspektor yang lain akan menerima kenaikan pangkat berdasarkan tempoh perkhidmatan iaitu selepas 8 tahun.

Dalam pada itu, beliau berkata seramai 7,402 anggota polis telah ditugaskan menjalankan tugasan luar pejabat seperti rondaan apabila penjawat awam dari pelbagai kementerian mengambil alih tugas pentadbiran selepas proses penstrukturan semula PDRM pada 2010

 Bagaimanapun katanya pada masa ini terdapat lebih 500 anggota polis berpangkat ASP ke bawah di seluruh negara masih menjalankan tugas pentadbiran.

"Kita akan sentiasa melihat dari semasa ke semasa perjawatan-perjawatan yang boleh kita awamkan, kita ganti untuk pegawai awam ambil alih maka polis yang menjalankan tugas itu kita akan tugaskan mengawal keselamatan," katanya.

No comments:

Post a Comment