Tuesday, December 17, 2013

Terengganu Salur Bantuan RM1.34 Juta Kepada 788 Pesakit Kronik

Tabung Penyakit Kronik yang ditubuhkan kerajaan Terengganu menyalurkan RM1.34 juta kepada 788 pesakit kronik di negeri ini bagi tempoh April hingga Oktober lepas.

Daripada jumlah itu, 156 pesakit buah pinggang menerima bantuan sebanyak RM256,500, 132 pesakit jantung (RM166,200) dan 35 pesakit kanser (RM123,750), kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Muhammad Pehimi Yusof.

Selain itu, katanya, sebanyak RM412,479.63 disalurkan untuk membayar bil perubatan dan RM388,150 untuk penyakit lain.

"Kerajaan negeri sentiasa memastikan peruntukan tabung itu mencukupi bagi membantu rakyat yang mengalami penyakit kronik dan baki terbaru setakat ini adalah sebanyak RM658,799.91," katanya selepas menyampaikan dua buah kerusi roda elektrik kepada dua kakitangan kerajaan negeri semalam.

Kerajaan negeri, kata Muhammad Pehimi, menambah sebanyak RM500,000 lagi ke dalam tabung berkenaan bagi memastikan peruntukan tidak akan susut.

Tabung yang diperkenalkan sejak tahun 2010 itu bertujuan membantu rakyat negeri itu yang menderita pelbagai penyakit berbahaya dan memerlukan perhatian segera.

No comments:

Post a Comment