Tuesday, December 10, 2013

Tiada Laporan Penularan Wabak Penyakit Perjangkit Akibat Banjir - Subramaniam

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata tiada laporan mengenai penularan wabak penyakit berjangkit akibat banjir yang melanda beberapa negeri sehingga kini.

Beliau berkata kementerian akan memastikan petugas pejabat kesihatan di setiap daerah dan negeri yang dilanda banjir melawat pusat pemindahan banjir sebagai memenuhi aspek kesihatan dan keselamatan mangsa banjir yang terlibat.

"Pegawai dari Kementerian Kesihatan akan melawat dan memantau setiap setiap pusat pemindahan dan akan memberi nasihat termasuk pemakanan dan ubat-ubatan untuk memastikan mereka dijauhi penyakit," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Melaka Hidup Sihat anjuran World Youth Foundation (WYF) di Melaka, Ahad.

Turut hadir Pengerusi WYF Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Banjir melanda Pahang, Terengganu, Kelantan dan Johor sejak seminggu lepas dan sehingga kini lebih 70,000 mangsa masih ditempatkan di pusat pemindahan banjir di negeri berkenaan.

Menurut beliau, kementerian akan bekerjasama dengan institusi kemasyarakan seperti Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan Rukun Tetangga bagi mempertingkat kesedaran serta pengawasan kesihatan ke peringkat akar umbi.

Beliau berkata 17,000 pegawai Kemas akan dilatih secara berperingkat mengenai aspek pemakanan, pemeriksaan kesihatan dan sebagainya untuk dikongsi dan disalurkan kepada masyarakat.

"Sebagai permulaan, kumpulan pertama seramai 200 hingga 300 pegawai Kemas akan dilatih bermula bulan depan dan saya telah arahkan supaya modul latihan kesihatan ini dilaksanakan dengan segera," katanya. 

Beliau berkata Kementerian Kesihatan menyasarkan seramai dua juta orang akan diberi nasihat dan pemantauan aspek kesihatan bagi mencapai objektif kehidupan sihat selain mengenal pasti pencegahan penyakit merbahaya di peringkat awal.

No comments:

Post a Comment