Friday, January 31, 2014

20 Pembantu Guru BI Dari Amerika Syarikat Bertugas Di Terengganu


Seramai 20 Pembantu Guru Bahasa Inggeris (ETA) Fullbright dari Amerika Syarikat tiba di sini untuk membantu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar Tingkatan Tiga dan Empat di negeri ini.

Guru ETA ini merupakan kumpulan kesembilan yang menyertai program tahunan itu yang bertujuan meningkatkan pertukaran Malaysia dan Amerika dalam bidang pendidikan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas Terengganu Ghazali Taib berkata kumpulan itu akan ditempatkan di tujuh daerah di negeri ini sehingga Oktober ini.

"Kami harap guru-guru ini juga akan memberi sumbangan dengan menganjurkan kelab dan aktiviti luar kurikulum berkaitan bahasa Inggeris," katanya pada majlis penyerahan di Kuala Terengganu, semalaam.

Program ETA Fulbright ini dikendalikan bersama oleh Suruhanjaya Pertukaran Pendidikan Malaysia-Amerika (Macee) dan Kementerian Pendidikan. Penyelaras Macee, Julia Berryman berkata 100 siswazah muda universiti Amerika Syarikat akan menyertai program ini dan sesetengah daripada mereka dihantar berkhidmat di negeri terpilih selama 10 bulan mulai Februari.

Emily Elizabeth Rivard, 23, dari Massachusetts, yang akan ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Mentok, Kemaman, berkata beliau mengambil bahagian sebagai sukarelawan ETA kerana ingin mempelajari budaya tempatan.

"Saya sungguh teruja untuk datang ke sini dan kemesraan masyarakat di sini membuat saya berasa lebih santai serta diterima baik. Saya tidak sabar untuk bertemu para pelajar," katanya.

No comments:

Post a Comment