Wednesday, January 22, 2014

51 Rumah PPRT Telaga Daing Diberi Hak Milik

Ahmad Razif Abdul Rahman (berkaca mata) bersama dengan penerima rumah PPRT pada majlis penyampaian kunci rumah berkenaan di Kampung Telaga Batin, Kuala Terengganu, kelmarin. 
Sebanyak 51 unit rumah yang dibangunkan di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Penempatan PPRT Nelayan Kampung Telaga Daing, Seberang Takir dekat Kuala Terengganu,  akan diberi hak milik kepada penghuninya.

Pengerusi Jawatankuasa Sains & Teknologi, Tenaga, Teknologi Hijau dan Air negeri, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, rumah yang didiami mereka sejak 2007 itu secara keseluruhannya bernilai RM110,000 termasuk tapak.

''Kerajaan negeri sudah bersetuju untuk meluluskan penukaran status pemilikan rumah PPRT itu sebagai hak milik dan menjadi aset mereka sepenuhnya.

"Kita dalam proses memberikan 51 rumah sebagai milik keluarga berkenaan yang menghuni di sini mulai 2007 manakala dua penerima akan diproses kemudian.

etiap tahun, 10 buah rumah PPRT dibina dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Seberang Takir," ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan kunci rumah kepada dua penerima rumah PPRT di Kampung Batin, semalam.

Katanya, penyediaan rumah yang sempurna untuk mereka yang tidak berkeupayaan membuktikan kerajaan sentiasa berusaha untuk menyelesaikan masalah rakyat khususnya yang amat memerlukan bantuan.

Dalam pada itu beliau berkata, sebanyak 722 unit rumah mampu milik yang sudah dibina di Kampung Batin akan diserahkan kepada pemilik secara berperingkat dalam masa terdekat ini.

Sementara itu, dua keluarga yang mula menerima kunci rumah semalam mengucapkan terima kasih dan bersyukur setelah impian mereka untuk memiliki rumah yang sempurna dan selesa tercapai.

Mat Chik Ali, 74, yang sebelum ini tinggal di rumah usang dengan menumpang di tapak milik penduduk setempat, terharu dengan perhatian yang diberi kepada keluarganya oleh pihak kerajaan.

Bekas nelayan itu turut menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM200 dan keperluan keluarga turut ditampung daripada hasil pendapatan isterinya yang bekerja sebagai pembantu kedai.

"Dengan pemberian ini bolehlah saya bersama isteri, Hindun Mamat, 63, dan anak-anak mendiami rumah tiga bilik ini dengan lebih selesa. Untuk membina sendiri, kami tak mampu," ujarnya.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment