Thursday, January 30, 2014

Bekas Penyanyi Didakwa Tipu Sembilan Individu Lebih RM200,000

Bekas penyanyi Kumpulan Tiga mengaku bersalah terhadap tujuh daripada sembilan pertuduhan menipu membabitkan sembilan individu berjumlah RM235,400 tahun lepas.

Mohd. Qhairol Iqhssan Yusof, 28, yang ketika kejadian merupakan pegawai bank, mengaku bersalah terhadap empat dakwaan menipu Afiq Adham Mustamin, 28, Nur Hidayah Mohd. Yusof, 30, Mohammad Faizal Ahmad, 33, dan Mohd. Afendy Izani Arizal, 35, yang mendorong mereka menyerahkan wang RM139,700 sebagai bayaran pendahuluan pinjaman perumahan.

Tertuduh dari Sandakan, Sabah turut mengaku bersalah terhadap dua tuduhan menipu Nazim Mustapah, 28, dan Rosli Ahmad, 41, dengan memperdayakan mereka mempercayai bahawa dia adalah wakil AmBank yang mengurus dan meluluskan permohonan pinjaman perumahan mereka sehingga mendorong mangsa menyerahkan RM47,950 kepada tertuduh.

Mohd. Qhairul yang pernah menyanyikan single pertama berjudul 'Pengakuan' juga mengaku bersalah terhadap tuduhan menipu Mohd. Firdaus Satir@Satar, 29, sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang RM8,750 sebagai bayaran yuran guaman kepadanya.

Bagaimanapun tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap dua dakwaan menipu Maya Haryanto, 21, yang juga anggota Kumpulan Tiga dan Hairul Faizal Mohd Siraj, 32, sehingga mendorong kedua-dua mangsa menyerahkan masing-masing RM26,500 dan RM12,500 kepadanya.

No comments:

Post a Comment