Thursday, January 30, 2014

Tujuh Gajah Mula Ditempatkan Di Elephant Village Untuk Pelancongan


Sekumpulan tujuh ekor gajah mula ditempatkan di Kenyir Elephant Village (KEV), projek yang dibangunkan kerajaan negeri Terengganu di kawasan pelancongan Tasik Kenyir melibatkan kawasan seluas 256 hektar.

Pengurus Bahagian Pembangunan Tasik Kenyir di bawah Unit Perancang Ekonomi Negeri Tengku Mohd Ariffin Tengku Abdul Rahman berkata projek fasa pertama daripada dua fasa yang dimulakan pembinaannya sejak 2012 akan menempatkan 30 ekor gajah apabila siap sepenuhnya kelak.

Katanya selain itu KEV juga menyediakan lima buah menara, jambatan gantung sepanjang 500 meter, tempat pertunjukan gajah dan segala kemudahan lain melibatkan peruntukan kira-kira RM11.65 juta.

Fasa pertama KEV melibatkan 12 hektar dijangka siap sepenuhnya dan akan dibuka kepada orang ramai pada pertengahan tahun ini.

"Kita berharap projek ini menjadi pemangkin industri pelancongan di negeri itu kerana mampu menarik lebih ramai pelancong ke Terengganu khususnya Tasik Kenyir," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan tujuh ekor gajah oleh Pengarah Bahagian Eko-Pelancongan Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Mohd Taufik Abdul Rahman di KEV semalam.

Sementara itu Mohd Taufik berkata gajah-gajah separuh jinak terdiri daripada empat jantan dan tiga betina itu telah dilatih di Sungai Dekar oleh pelatih-pelatih Perhilitan dan dibantu pakar gajah dari Kelantan dan Thailand.

Katanya gajah-gajah itu yang berumur antara setahun dan 25 tahun dilatih di pusat gajah Sungai Dekar antara empat bulan dan setahun.

"Gajah-gajah liar yang mengancam tanaman penduduk, ditangkap kemudian dihantar ke Sungai Dekar, kemudiannya kita latih untuk menjinakkannya," katanya.

No comments:

Post a Comment