Saturday, January 11, 2014

ISA Wajar Dikembalikan Semula Memastikan Keselematan Awam Terjamin

Sudah ada pihak-pihak yang bercakap, termasuk Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, agarmAkta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dikembalikan semula.

ISA yang dimansuhkan pada tahun lepas dan digantikan dengan SOSMA (Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah- langkah Khas) 2012) dikatakan kurang berkesan bagi memastikan keselamatan awam lebih terjamin.

Kumpulan terakhir lapan tahanan ISA dibebaskan dari Pusat Tahanan Kamunting pada minggu lepas namun ISA tetap dianggap sebagai undang-undang yang menjamin keselamatan lebih baik untuk rakyat.

"Undang-undang semasa seperti adalah baik tetapi apa yang buruknya mempunyai undang-undang tambahan seperti ISA ini.

Saya menyokong ISA dan mana-mana undang-undang yang boleh membantu polis dalam menjadikan negara ini lebih selamat," katanya pada sidang media di Bukit Aman semalam.

"Saya seorang pegawai penguatkuasaan undang-undang ... sudah tentu saya akan mengharapkan undang-undang yang boleh membantu saya dalam menjalankan tugas. Bagaimanapun, saya mematuhi tujuan Parlimen dalam menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada.

Dalam pada itu, saya juga berharap Akta Pencegahan Jenayah (PCA) turut akan diperkenalkan tidak lama," katanya.

Kelmarin, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan pelaksanaan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi menangani tindakan puak ekstremis minoriti yang menjejaskan kestabilan negara.

Beliau menyifatkan segelintir puak pelampau ini sebagai kumpulan yang tidak matang dan sanggup mengeluarkan kenyataan menyakitkan hati yang mengganggu keharmonian dan sensitiviti kaum lain di negara ini. "Untuk golongan pelampau sebegini, kita memerlukan ISA.

ISA tidak diperlukan untuk orang macam saya kerana saya seorang yang sangat bagus," katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu undangan khas dalam program berbahasa Inggeris RTM2 'Hello On Two', yang disiarkan secara langsung di Wisma TV, Angkasapuri di Kuala Lumpur, Khamis.

Dr Mahathir berkata sekiranya Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) tidak digunakan, adalah lebih baik negara tidak mempunyai undang-undang sedemikian.

Pada Februari 17, 2011, dilaporkan oleh media, bekas Perdana Menteri itu pernah membuat kenyataan bahawa beliau mahu menghapuskan ISA, tetapi tidak melakukannya atas nasihat pihak polis.

“Ketika saya masih lagi perdana menteri, saya telah mencadangkan agar ISA dimansuhkan tetapi pihak polis tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana pada pandangan mereka masih terdapat ancaman kepada keselamatan negara.

“Saya juga telah mencadangkan agar tempoh tahanan dikurangkan hanya kepada setahun tetapi cadangan itu juga ditolak,” ujarnya lagi.

Dr Mahathir berkata, pihak polis adalah merupakan penasihatnya dalam hal ehwal keselamatan negara dan "jika mereka kata tangkap... saya pun tanda tanganlah.."

Beliau turut menegaskan bahawa ISA itu sendiri adalah satu akta yang baik tetapi penyalahgunaan kuasa yang ada pada akta itu yang tidak sepatutnya dilakukan.

“Mereka yang mengkritik ISA mengkritik akta itu kerana mereka tidak dapat menjadi perdana menteri... itu saja. “Jika dia jadi perdana menteri... sedaplah,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Tun Hanif Omar, yang berkhidmat sebagai ketua polis negara di bawah pentadbiran Dr Mahathir tidak menafikan kata-kata bekas perdana menteri itu dan menegaskan bahawa beliau telah menggesa kerajaan agar tidak memansuhkan ISA.


“Anwar Ibrahim (yang ketika itu adalah timbalan perdana menteri) berkata kerajaan patut memansuhkan ISA dan Dr Mahathir bersetuju,” katanya lagi.

Bagaimanapun tegas Hanif beliau telah menasihati kerajaan agar berfikir dua kali dan tidak lama selepas itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Megat Junid Megat Ayub mengumumkan yang kerajaan sedang mengkaji semula ISA.

Malah Hanif turut mengesahkan bahawa Dr Mahathir sendiri beberapa kali menyuarakan pandangan tidak setujunya dengan kewujudan ISA.

“Apabila beliau menjadi perdana menteri, Tun Musa Hitam (yang ketika itu timbalan perdana menteri dan menteri dalam negeri) telah menasihati saya supaya tidak merujuk kepada akta itu kerana perdana menteri tidak suka mendengarnya.

“Tetapi saya memberitahu Tun Musa bukan saya yang merangka dan meluluskan akta itu tetapi parlimen. Saya hanya menggunakan akta itu untuk melindungi negara ini dari sebarang ancaman. "Jika tidak setuju Parlimen boleh memansuhkan ISA jadi saya tidak boleh lagi menggunakan akta tersebut sebagai satu senjata untuk bertindak," katanya lagi.


Hanif juga berkata yang beliau pernah menemui Dr Mahathir pada tahun 1987 bersama Pengarah Cawangan Khas, Tan Sri Rahim Noor akan keperluan untuk melakukan tangkapan besar-besaran dalam usaha untuk menghalang satu lagi peristiwa rusuhan seperti 13 Mei berulang

“Senarainya sangat panjang dan kami bersetuju untuk memendekkannya... tetapi Dr Mahathir masih tidak gembira dengan senarai itu jadi kami potong dan pendekkan lagi dan akhirnya yang tinggal hanya 104 nama sahaja,” jelas Hanif.

Semalam, kerajaan diminta mempertimbangkan cadangan Tun Dr. Mahathir supaya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) diwujudkan semula bagi memberi kesedaran kepada mereka yang terlalu ekstrem yang cuba menjatuhkan negara.

Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata cadangan bekas perdana menteri itu perlu diberikan perhatian kerana pemansuhan ISA ternyata tidak memberi kesedaran kepada kumpulan minoriti yang menggunakan kebebasan dan politik kekerasan untuk berkuasa.

Katanya sejak ISA dimansuhkan pelbagai pihak termasuk kumpulan radikal yang berselindung disebalik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) cuba mencetuskan ketegangan dalam masyarakat sehingga membangkitkan perasaan kurang senang di kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

"Sejak pemansuhan ISA, kelihatan kadar jenayah meningkat manakala sesetengah pihak pula langsung tidak menghormati keluhuran undang-undang dan perasaan orang lain," katanya dalam laman blog www.umnobahagiancheras.blogspot.com.

Tambah beliau, konflik antara kaum juga kelihatan semakin serius dan jika tidak ditangani segera dikhuatiri akan mengundang mala petaka kepada rakyat yang selama ini hidup dalam aman damai.

Justeru tegas beliau, cadangan Dr. Mahathir merupakan pandangan bertanggungjawab daripada seorang bekas pemimpin yang mahukan situasi negara ini kekal stabil sama ada dari segi politik, ekonomi dan sosial.

No comments:

Post a Comment