Saturday, January 11, 2014

Kontrak Ditamatkan Jika Naikkan Harga Makanan Sesuka Hati

Orang ramai khususnya ibu bapa diminta tidak panik berhubung isu harga makanan di kantin sekolah, susulan kenaikan pelbagai harga makanan kerana keadaan di negeri ini masih lagi terkawal.

Namun sekiranya berlaku kenaikan harga yang tidak munasabah, minta ibu bapa lapor kepada pihak sekolah atau Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) sebab kontrak mereka boleh ditamatkan serta merta jika melanggar peraturan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi dan Tugas-tugas Khas negeri, Ghazali Taib berkata, pengetua dan guru besar di negeri ini sentiasa membuat pemantauan harga makanan di sekolah masing-masing sejak sesi persekolahan bermula.

Menurutnya, sehingga kini tiada laporan kenaikan harga makanan yang melampau dilaporkan berlaku di kantin sekolah di negeri ini.

“Memang ada kenaikan harga makanan tetapi hanya satu dua item dan ada juga yang mengekalkan harga sama, cuma mengurangkan kuantiti. Namun ia (harga) masih terkawal.

“Orang ramai jangan panik sebab kita sentiasa membuat pemantauan supaya kelak tidak timbul pelajar tidak cukup makan pula,” katanya.

Beliau mengakui peniaga termasuk pengusaha kantin sekolah kini terbeban dengan kenaikan harga bahan mentah dan pelbagai barangan lain sehinggakan keuntungan semakin mengecil sehingga 10 peratus. 

Bagaimanapun, katanya, pengusaha kantin telah sedia maklum dengan peraturan ditetapkan dalam tender kantin dan tidak mungkin mereka mengambil keputusan untuk menaikkan harga makanan melampau.

No comments:

Post a Comment