Thursday, January 23, 2014

Kematian Kanak-Kanak 2 Tahun Di Seberang Paka - Polis Tahan Ibu, Teman Lelaki

Lelaki disyakki membunuh Nursyafiqah, 2.
Polis menahan empat individu termasuk ibu kepada Nursyafiqah Adawiyyah Abdullah, 2, bagi membantu siasatan kes kematian kanak-kanak itu yang dipercayai dibunuh dengan kejam di sebuah rumah kosong di Taman Permint, Seberang Paka, Dungun semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, selain wanita berusia 27 tahun itu, turut ditahan ialah teman lelakinya serta dua lagi rakan lelaki yang masing-masing berumur 25 tahun.

Beliau berkata, kesemua suspek ditahan secara berasingan bermula tengah hari semalam hingga awal pagi ini di sekitar Paka, Dungun.


Menurut beliau, pihaknya percaya kesemua suspek yang kini ditahan reman selama seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dapat membantu menyelesaikan kes pembunuhan tersebut.

"Suspek utama iaitu teman lelaki ibu mangsa ditahan pada pukul 1.30 petang di tempat awam di Kuala Paka sebelum penemuan mayat mangsa dilaporkan.

"Penahanan itu dibuat berasaskan kaitannya dengan laporan kehilangan kanak-kanak itu pada 18 Januari. Ketika ditahan suspek berada di bawah pengaruh dadah.

"Ibu mangsa pula ditahan pada pukul 10.30 malam ketika memberi keterangan di Balai Polis Dungun, diikuti dua lelaki lain antara pukul 12.30 malam dan 1.30 pagi," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, semalam.

Tambah Manoharan, turut dirampas ialah kereta milik suspek utama yang dipercayai dinaiki mangsa sebelum dibunuh.

Ujar beliau, siasatan awal juga mendapati kesemua suspek merupakan penagih dan dipercayai terbabit dengan pengedar dadah secara kecil-kecilan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang semalam, mayat kanak-kanak malang itu yang dipercayai dibunuh dengan kejam ditemui dalam keadaan menyedihkan, terlentang separuh bogel dan mulai membusuk di dalam bilik air sebuah rumah kosong.

Nursyafiqah Adawiyyah dipercayai telah meninggal dunia lebih 24 jam sebelum ditemui dan mayatnya kini berada di Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk dibedah siasat.

Dalam pada itu, Manoharan memberitahu, hasil siasatan mendapati, laporan polis berhubung kehilangan anak yang dibuat ibu mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai adalah palsu dan bercanggah kerana teman lelakinya merupakan orang terakhir bersama mangsa.

Kata beliau, ibu mangsa melaporkan anaknya hilang selepas lima minit ditinggalkan di dalam kereta di Medan Ikan Bakar Paka kira-kira pukul 7.30 malam, 17 Januari lalu.

"Pada peringkat ini, kita dapati laporan polis yang dibuat ibu mangsa adalah palsu tetapi kita tidak boleh mengesahkan sama ada dia bersubahat dengan teman lelakinya atau tidak hingga siasatan selesai.

"Suspek utama merupakan orang terakhir bersama mangsa pada hari berkenaan kerana dia membawa mangsa keluar dengan keizinan ibunya pada pukul 11 pagi.

"Walau bagaimanapun pada pukul 10 malam hari yang sama, suspek memaklumkan kepada teman wanitanya tentang kehilangan kanak-kanak itu," katanya.

Sementara itu, polis sedang berusaha mengesan individu yang menyebarkan di laman sosial gambar kanak-kanak berkenaan  mati dibunuh.

K Manoharan berkata pihaknya memandang serius perkara itu kerana pihak terbabit sewenang-wenangnya menyebarkan gambar tersebut tanpa memikirkan sensitiviti keluarga mangsa.

"Kita akan menyiasat kes ini di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia dan di bawah Akta Kanak-kanak," katanya pada sidang media semalam.

dan menemui mayat kanak-kanak itu dalam keadaan terbaring di bilik air. Dalam pada itu, Manoharan meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kematian kanak-kanak terbabit.

No comments:

Post a Comment