Thursday, January 23, 2014

Kritik Kerana Dengki Pencapaian MB Terengganu


Tindakan pembangkang yang sering melemparkan tuduhan dan mengkritik pentadbiran Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said didakwa kerana dengki dengan pencapaian kerajaan negeri di bawah pimpinannya. 

Kritikan terbaru ialah mengenai lawatan eksplorasi saintifik Menteri Besar selama 15 hari ke Antartika bertujuan membuka laluan untuk membantu kerajaan menubuhkan sebuah stesen penyelidikan bersama Instituto Antartico Chileno (INACH).

Exco Pemuda Umno pusat Mohd Iskandar Jaafar berkata tohmahan dan cakap-cakap sinis oleh pembangkang mengenai lawatan itu lebih merupakan satu usaha jahat yang menafikan keperluan kepada pengembangan ilmu saintifik pada masa hadapan.

Katanya misi ke Antartika sudah pastinya akan memberikan banyak maklumat dan pengalaman berguna yang bakal diperolehi melalui kajian-kajian yang dilaksanakan.

"Saya menyokong penuh lawatan kerja Menteri Besar ke Antartika bersama rombongan negara di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi melalui inisiatif Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan," katanya dalam kenyataan di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan beberapa pemimpin pembangkang berkaitan lawatan kerja dan eksplorasi ke Kutub Selatan yang diketuai Ahmad yang dipersoalkan rasionalnya selain didakwa hanyalah satu ekspedisi makan angin. - Bernama

No comments:

Post a Comment