Sunday, January 19, 2014

Pembukaan Liga Super 2014 - Terengganu Antara Lima Pasukan Bermula Cemerlang

T-Team tersungkur kepada Selangor dengan jaringan 0-2 petang semalam.

Lima pasukan iaitu Terengganu, Selangor, Johor Darul Ta'zim (JDT) , Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dan Kelantan bermula dengan langkah kanan apabila menewaskan lawan masing-masing pada aksi pembukaan Liga Super 2014 Sabtu.

Naib juara musim lepas, Selangor tidak menghadapi masalah untuk menewaskan wakil kelab dari Terengganu, T-Team, dengan kemenangan 2-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya hasil sentuhan penyudah pemain import dari Brazil, Paulo Rangel, masing-masing pada minit ke-65 dan 72.

Pada aksi tersebut, penyerang import Selangor, Paulo Rangel muncul wira apabila meledakkan dua gol buat skuad Gergasi Merah pada minit ke-66 dan 73

 Dalam perkembangan sama, Rangel mengakui gembira kerana kerana berjaya menjaringkan dua gol pada aksi sulung bersama Selangor.

“Saya lebih pentingkan kemenangan berbanding jumlah jaringan. Apa yang penting, saya gembira kerana kami berjaya mengutip tiga mata penuh. “Sejujurnya, saya tidak sasarkan (jumlah jaringan) musim ini dan apa yang saya mahukan adalah meledakkan gol setiap kali diturunkan bersama Selangor,” katanya.

Sementara itu, jurulatih skuad The Titans, Mohd. Azraai Khor Abdullah mengakui beliau telah bersedia untuk berbincang dengan pihak pengurusan T-Team dalam usaha memburu pemain sayap yang berkualiti.

Azraai berkata, beliau akur dengan kekalahan kepada Selangor dan mahu memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada pada skuad kendaliannya.

“Kami tewas kepada pasukan yang sangat hebat. T-Team dilihat sedikit bergelut di jentera serangan terutama membabitkan pemain sayap.

“Kami gagal menghasilkan hantaran dari posisi itu. Jadi, saya akan berbincang dengan pihak pengurusan T-Team untuk mencari pemain sayap pada musim perpindahan pemain, April depan,” katanya.

Dalam pada itu, dua pasukan pantai timur iaitu Kelantan dan Terengganu terpaksa bergelut sebelum mencatat kemenangan tipis ke atas lawan masing-masing di laman sendiri.

Kelantan, yang merupakan juara Piala FA musim lepas, menang tipis 2-1 ke atas wakil kelab Lembah Klang, Sime Darby FC, di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu.

Pasukan pelawat kendalian Ismail Zakaria itu terlebih dahulu mengejutkan skuad 'The Red Warriors' menerusi jaringan Mohd Fadzli Shaari seawal minit ketujuh sebelum penyerang import dari Lubnan, Mohammed Ghaddar Mahmoud, muncul wira pasukan tuan rumah dengan meledak dua gol masing-masing pada minit ke-60 dan 80.

Sementara itu, Terengganu pula menundukkan satu lagi wakil kelab Lembah Klang, Selangor PKNS FC, dengan keputusan sama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.


Turut mencatat keputusan sama ialah pasukan berstatus bintang, JDT yang mengalahkan Perak di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor Baharu hasil ledakan Mohd Amri Yahyah pada minit ke-37 dan pemain import dari Argentina, Luciano Figueroa pada minit ke-87.

ATM turut mengutip tiga mata penuh selepas mengalahkan pendatang baharu, Sarawak, dengan kemenangan 2-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Dua jaringan skuad 'The Gladiators' dijaring penyerang berbisa Marlon Alex James pada minit ke-17 dan Christie Jayaseelan pada minit ke-29.


No comments:

Post a Comment