Sunday, January 19, 2014

Angin Kencang, Laut Bergelora Berterusan Sehingga Esok

Angin kencang dan laut bergelora yang kini melanda perairan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur, kawasan pendalaman Pantai Barat, kudat, Wilayah Persekutuan Labuan di Sabah dan Sarawak dijangka berterusan sehingga Isnin.

Jabatan Meteorologi dalam kenyataan di sini berkata angin kencang timur laut dengan kelajuan 60 kilometer sejam (km/jam) dan ombak melebihi 5.5 meter itu berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak.

"Selain itu, kawasan pantai di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut," kata kenyataan itu.

Angin kencang dan laut bergelora kategori kedua di kawasan perairan Sandakan di Sabah juga akan berterusan sehingga Isnin dengan kelajuan antara 50 hingga 60 km/jam serta ombak setinggi 4.5 meter. 

Keadaan itu juga berbahaya kepada aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan serta perkhidmatan feri. Sementara itu, angin kencang dan laut bergelora kategori pertama melanda kawasan perairan Tawau, Semporna dan Lahad Datu di Sabah dengan kelajuan angin 40 hingga 50 km/jam serta ombak setinggi 3.5 meter.

Keadaan itu juga berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut. Amaran sama turut dikeluarkan bagi kawasan di perairan Samui, Tioman, Bunguran, Reef South, Palawan, Condore, dan Layang-Layang dengan kelajuan angin 60 km/jam dan ombak mecapai 5.5 meter.

Kenyataan itu berkata ribut petir di perairan Wilayah Persekutuan Labuan dan Selangor dijangka berterusan sehingga Isnin dengan angin berkelajuan 60 km/jam dan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter.

No comments:

Post a Comment