Saturday, January 11, 2014

Terengganu Dilanda Banjir Gelombang Kedua

Banjir gelombang kedua mula melanda Terengganu apabila 155 orang daripada 45 keluarga di daerah Kemaman dipindahkan sejak awal pagi semalam.

Menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) sehingga pukul 9 pagi Sabtu, tiga pusat pemindahan mangsa banjir dibuka di daerah itu, iaitu Balai JKKK Padang Kubu yang menempatkan 87 orang (26 keluarga), Berek Kilang Padang Kubu (33 orang daripada lapan keluarga) dan Rumah Pegawai Sungai Mas (35 orang daripada 11 keluarga).

Kesemua mereka mula berpindah ke pusat pemindahan kira-kira pukul 8 pagi Jumaat berikutan kawasan kediaman mereka yang rendah dinaiki air limpahan hujan.

Dalam kejadian banjir gelombang pertama baru-baru ini, daerah Kemaman merupakan kawasan yang teruk terjejas menyebabkan berpuluh ribu orang terlibat dalam musibah itu.

Sementara itu, daerah Kuala Terengganu mengalami cuaca buruk pagi Sabtu dengan angin kencang disertai hujan lebat sekali-sekala.

Kelmarin  Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan berkata angin kencang dengan kelajuan sehingga 60kmsj dan laut bergelora dengan ketinggian ombak sehingga melebihi 5.5 meter yang berlaku di beberapa kawasan perairan Laut China Selatan dijangka berterusan sehingga 20 Januari depan.

Berikutan itu, kawasan perairan Kelantan dan Terengganu yang mengalami keadaan ini juga terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut.

Keadaan itu juga berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak.

Keadaan angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 50 hingga 60kmsj dan ketinggian ombak mencecah 4.5 meter juga dilaporkan di perairan Pahang, Johor Timur, Sabah (pedalaman, pantai barat, Kudat dan Sandakan), Labuan dan Sarawak.

Kawasan pantai Pahang dan Johor Timur juga terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut bagi tempoh itu. Keadaan itu berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri, kata kenyataan itu.

 Angin kencang dengan kelajuan 40 hingga 50 kmsj dan ketinggian ombak sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Sabah (Tawau, Semporna dan Lahad Datu) sehingga 20 Jan dan berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi dan sukan laut.

No comments:

Post a Comment